Salah sebuah model sportbike keluaran Kawasaki yang pernah ditawarkan untuk pasaran Malaysia sebelum ini ialah Kawasaki Ninja 400 SE ABS 2020. Harga jualannya ketika itu ialah sebanyak RM 29,998.00 sahaja. Namun ketika ini model tersebut dipercayai telah pun tiada di pasaran tempatan, malah semakan di dalam halaman Mudah.my juga mendapati tiada sebarang iklan mengenainya.
Oleh itu kini timbul pertanyaan, adakah pengedar baharu Kawasaki Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) bakal melancarkan semula Kawasaki Ninja 400 2023 untuk pasaran Malaysia? Jika model tersebut dilancarkan semula nanti, ianya merupakan suatu alternatif untuk model baharu yang sangat dinanti-nantikan selama ini, tidak lain dan tidak bukanĀ Modenas Ninja ZX-25R 2023.
Ini kerana Kawasaki Ninja 400 2023 dikuasakan enjin 398cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan keluaran kuasa maksimum 48PS @ 10,000rpm dan tork setinggi 37Nm @ 8,000rpm. Prestasi enjin Ninja 400 itu pastinya mampu menandingi prestasi Modenas Ninja ZX-25R yang menawarkan kuasa maksimum 46PS @ 15,500rpm dengan tork puncak 22Nm @ 12,500rpm.
Tambahan pula harga Kawasaki Ninja 400 adalah lebih berpatutan. Contohnya di pasaran Thailand, Kawasaki Ninja 400 ketika ini dijual dengan harga THB 224,400 (RM 28,053.14). Bagi model Ninja ZX-25R pula, harga jualannya ketika ini adalah sebanyak THB 299,000 (RM 37,379.19). Jadi dapat dilihat perbezaan harga di antara kedua-dua model Ninja 400 dan Ninja ZX-25R itu sangat ketara.
Namun begitu walaupun harga jualan Kawasaki Ninja 400 adalah lebih rendah, terdapat dua sebab utama kenapa peminat motosikal tempatan akan memilih Modenas Ninja ZX-25R 2023, yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun depan. Sebab pertama ialah kerana ianya mempunyai enjin 250cc dalam konfigurasi empat silinder dengan bunyi ekzos yang begitu sporty dan garang.
Sebab kedua ialah bakal pembeli atau pemilik Modenas Ninja ZX-25R 2023 tidak perlu menaik taraf lesen motosikal mereka daripada kelas B2 kepada kelas B Full. Sememangnya tidak dinafikan lagi, kebanyakan pemilik lesen motosikal dalam kelas B2 tidak bermotivasi dan enggan bersusah-payah untuk menaik taraf lesen mereka. Jadi adakah Ninja 400 akan kembali ke pasaran Malaysia nanti?