Honda Vario 125 2022 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga jualan bermula dari RM 6,778.51

Pada tarikh 26hb. September 2022 baru-baru ini, PT Astra Honda Motor (AHM) secara rasminya melancarkan model skuter terbaharu Honda Vario 125 2022 untuk pasaran Indonesia. Model tersebut didatangkan dalam tiga versi iaitu Honda Vario 125 Tipe CBS dengan harga Rp. 22,350,000 (RM 6,778.51), Honda Vario 125 Tipe CBS-ISS dengan harga Rp. 24,000,000 (RM 7,278.93), dan Honda Vario 125 Tipe CBS-ISS SP dengan harga Rp. 24,250,000 (RM 7,354.76).

Pilihan warna yang ditawarkan pula ialah Sporty Red dan Sporty Black untuk Honda Vario 125 Tipe CBS, Advance Matte Black untuk Honda Vario 125 Tipe CBS-ISS, dan Advance Matte Blue dan Advance Matte White untuk Honda Vario 125 Tipe CBS-ISS SP. Berbanding model tahun sebelumnya, Honda Vario 125 2022 kini tampil dengan sentuhan facelift yang lebih menarik dan sporty, di samping turut dilengkapi dengan beberapa ciri terbaharu untuk lebih kemudahan.

Ciri-ciri terbaharu itu ialah Honda Smart Key System (Tipe ISS sahaja), pengecas USB di konsol depan, dan tayar yang lebih lebar dalam saiz 90/80-R14 (depan) dan 100/80-R14 (belakang). Ciri-ciri menarik lain yang boleh didapati pada model skuter tersebut termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital sepenuhnya, ruang bagasi di bawah tempat duduk seluas 18 liter, sistem brek cakera dan dram dengan CBS, dan sistem Idling Stop System (ISS) untuk Tipe ISS.

Beralih ke bahagian enjin, Honda Vario 125 2022 dikuasakan enjin eSP bersesaran 124,8cc (SOHC, liquid cooled, PGM-FI) yang dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT. Enjin bertaraf Euro 3 itu menawarkan kuasa maksimum 11.1PS @ 8500rpm, dengan tork maksimum 10.8Nm @ 5,000rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 5.5 liter. Akhir sekali tinggi tempat duduk Honda Vario 125 ialah 769 mm, dengan berat hanya 112 kg (curb weight).