Honda CB1000R 2023 terima kemaskini warna baharu di pasaran Eropah

Pada November 2020 yang lepas, Honda CB1000R 2021 telah menerima kemaskini gaya baharu yang lebih sporty dan agresif untuk pasaran Eropah, bersama-sama enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5. Kini untuk musim depan, ianya telah diperkenalkan semula, bagaimanapun dengan hanya kemaskini warna baharu tanpa ada sebarang perubahan terkini di bahagian teknikalnya.

Honda CB1000R 2023 untuk pasaran Eropah ditawarkan dalam dua varian iaitu standard dan Black Edition. Bagi varian standard, pilihan warna terbaharu yang diperkenalkan ialah Bordeaux Red Metallic, manakala varian Black Edition menerima pilihan warna baharu Mat Jeans Blue Metallic. Warna sebelumnya Deep Graphite Black juga masih ditawarkan untuk musim depan.

Imbas kembali enjinnya iaitu bersesaran 998cc (liquid-cooled DOHC In-line 4 cylinder) dengan kuasa maksimum 143.5hp @ 10,500rpm dan tork maksimum 104Nm @ 8,250rpm. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan, manakala kapasiti tangki bahan apinya 16.2 liter. Sayangnya untuk pasaran Malaysia, Honda CB1000R kini tidak lagi ditawarkan oleh Boon Siew Honda.