Benelli TRK 702 & 702X 2022 diperkenalkan di pasaran China, dilengkapi enjin 693cc

Benelli sebelum ini telah memperkenalkan model terbaharu Benelli TRK 800 2022. Terkini untuk pasaran China, Benelli memperkenalkan pula model Benelli TRK 702 2022. Tampil dalam dua pilihan varian TRK 702 (standard) dan TRK 702X (off-road), model tersebut dikuasakan enjin 693cc dengan kuasa maksimum 75hp @ 8,500rpm dan tork maksimum 68.2Nm @ 6,250rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Benelli TRK 702 ini termasuklah tangki bahan api 20 liter, panel instrumen digital TFT, sistem lampu LED sepenuhnya, kamera depan untuk rakaman, grip dan tempat duduk dengan pemanas, port pengecas USB, fork depan USD, suspensi belakang monoshock, sistem brek Brembo, saiz tayar 17 inci untuk TRK 702 dan 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) untuk TRK 702X, tinggi tempat duduk 825 mm, dan jarak kelegaan tanah 190 mm.

Untuk peminat jentera adventure dengan tahap keupayaan tertinggi dalam meredah pelbagai jenis laluan yang mencabar, Benelli TRK 702 dan Benelli TRK 702X ini pastinya antara pilihan yang sesuai. Setakat ini belum pasti sama ada model ini akan turut dilancarkan untuk pasaran Malaysia atau pun tidak. Namun tidak mustahil jika ianya akan dibawa masuk oleh MForce selepas ini.