Beza harga antara Honda CBR250RR 2022 dan Yamaha YZF-R25 2022 hanya RM 3,001.00, pilihan mana lebih berbaloi?

Di pasaran tempatan pada ketika ini, terdapat dua pilihan model sport bike dalam kelas 250cc iaitu Honda CBR250RR 2022 dan Yamaha YZF-R25 2022. Walau pun berada di dalam kategori yang sama, kedua-dua model tersebut mempunyai beberapa perbezaan spesifikasi yang ketara, termasuklah perbezaan harga asas sebanyak RM 3,001.00.

Honda CBR250RR 2022 ketika ini ditawarkan dengan harga jualan asas RM 25,999.00, manakala Yamaha YZF-R25 2022 kini mempunyai tanda harga asas baharu sebanyak RM 22,998.00. Dengan perbezaan harga asas yang semakin mengecil di antara kedua-duanya, sedikit sebanyak telah menimbulkan dilema dalam memilih yang mana satu.

Oleh itu sebelum membuat pembelian, mungkin bakal pembeli boleh melihat sama ada Honda CBR250RR 2022 merupakan pilihan yang lebih berbaloi, dengan melihat kepada spesifikasi yang ditawarkan olehnya. Atau mungkin juga apa yang telah ditawarkan oleh Yamaha YZF-R25 2022 sememangnya sudah mencukupi, tanpa perlu membayar lebih.

Berdasarkan spesifikasi teknikal dan ciri-ciri pada kedua-dua model, Honda CBR250RR 2022 mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya ialah enjin yang lebih berkuasa (40hp dan 25Nm berbanding 35.5hp dan 22.6Nm), dilengkapi sistem Throttle-By-Wire, Assist & Slipper Clutch, Quick Shifter, dan juga tiga mod tunggangan (Comfort/Sport/Sport+).

Di samping itu, sistem suspensi depan Honda CBR250RR 2022 telah ditala untuk tahap pengendalian yang lebih baik untuk kawasan bandar mahu pun litar. Aspek reka bentuk mungkin subjektif, namun tidak dapat dinafikan bahawa Honda CBR250RR 2022 tampil lebih sporty, lengkap dengan ekzos berkembar, berbanding Yamaha YZF-R25 2022.

Apa yang boleh dikatakan ialah Honda CBR250RR 2022 mempunyai banyak kelebihan berbanding Yamaha YZF-R25 2022, dan ianya sangat sesuai untuk bakal pembeli yang mahukan sebuah jentera sport bike berorientasikan perlumbaan. Namun dengan harga yang lebih mahal sebanyak RM 3,001, adakah anda rasa pembeliannya lebih berbaloi?