Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) hari ini rasmi melancarkan sebuah model moped edisi istimewa terbaharu untuk pasaran tempatan, iaitu Yamaha 135LC Fi 5MRO Malaysia Edition 2022. Pelancaran model berkenaan adalah bagi meraikan pencapaian HLYM dalam produksi motosikal di Malaysia, yang kini telah mencapai angka 5 juta unit. Harga jualan asas yang ditawarkan untuk model tersebut ialah sebanyak RM 9,198.00.
Eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja, Yamaha 135LC Fi 5MRO Malaysia Edition ini hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad 5,000 unit, serta didatangkan dengan beberapa ciri yang menarik. Antaranya termasuklah nombor siri dan nombor pada kerangka yang sepadan, simbol dan warna yang diinspirasikan daripada bendera Jalur Gemilang, reka corak unik yang diinspirasikan daripada corak dinding Masjid Negara, dan pembeli juga akan menerima barangan eksklusif “Bomber Jacket” dan Sijil Pengesahan Ketulenan.
Di samping itu setiap pembelian akan turut menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma. Yamaha 135LC Fi 5MRO Malaysia Edition 2022 memiliki enjin bersesaran 135cc (sejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap) dengan teknologi suntikan bahan api, dengan kuasa maksimum 12.47hp @ 8,000rpm dan tork setinggi 12.2Nm @ 6,000rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, ianya dilengkapi dengan tangki petrol 4.6 liter.
HLYM dalam bulan Mac 2022 yang lepas secara rasminya melancarkan model Yamaha 135LC Fi 2022 terbaharu, dalam dua pilihan varian Standard dan S.E (Special Edition). Bagi model Yamaha 135LC Fi 5MRO Malaysia Edition 2022, ianya diasaskan daripada varian S.E, yang mana ianya disediakan secara eksklusif bakul Yamaha 2-dalam-1, dan hadir dengan ruang soket pengecas USB tertutup untuk perlindungan telefon dan gajet.
Sumber : Careta.my