Yamaha YZF-R25 2022 terima kemaskini warna baharu, lampu signal LED, ABS Dual Channel dan peningkatan harga

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini rasmi melancarkan model Yamaha YZF-R25 2022 terbaharu untuk pasaran Malaysia. Model sport bike berkenaan kini tampil dengan dua skim pilihan warna terbaharu Orange Lynx dan Racing Blue, manakala harga jualan asas kini meningkat kepada RM 22,998.00, berbanding harga terdahulu RM 19,998.00.

Yamaha YZF-R25 2022 mungkin kelihatan sama berbanding model tahun 2021, namun model tersebut sebenarnya telah menerima naik taraf terkini berupa lampu signal LED. Lampu signal LED di bahagian depan dan belakang itu bersaiz lebih kecil dan kelihatan lebih sporty. Model tersebut juga akhirnya kini dilengkapi sistem brek ABS dua saluran.

Pada bahagian enjin, ianya berkapasiti 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC inline twin-cylinder; 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum daripada enjin itu mencapai 35.5hp @ 12,000rpm dengan tork maksimum 22.6Nm @ 10,000rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan api untuk model sporty dengan berat 166 kg itu ialah 14.3 liter.

Melengkapkan lagi spesifikasi dan penampilannya ialah lampu depan berkembar yang agresif, panel instrumen digital LCD dengan pelbagai maklumat, rekaan suis 3 dalam 1 yang diinspirasikan daripada motosikal besar dan fork depan terbalik. Yamaha YZF-R25 2022 ini turut menawarkan kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma.

Sumber gambar : Paultan.org