WMoto RT3S 2022 diperkenalkan di pasaran Malaysia, kini dilengkapi skrin TFT yang lebih canggih

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. hari ini rasmi memperkenalkan model skuter terbaharu WMoto RT3S 2022 untuk pasaran tempatan. Ianya merupakan kesinambungan kepada model skuter maxi WMoto RT3 yang diperkenalkan pada tahun lepas, kini hadir dengan penggunaan skrin TFT terbaharu yang lebih canggih dengan mod cahaya dan malam.

Menurut MForce Bike, panel instrumen pintar TFT pada WMoto RT3S 2022 dilengkapi dengan tiga kesan User Interface (UI). Setiap kesan UI itu mempunyai mod cahaya dan mod malam yang terang. Malah, mod cahaya dan malam itu boleh ditukar berdasarkan keamatan cahaya persekitaran semasa. Skuter RT3S ini juga dibekalkan dengan sistem pemantauan tekanan angin tayar (TPMS), bagi membolehkan setiap penunggang untuk sentiasa peka tentang keadaan tekanan angin di dalam tayar skuter maxi moden itu.

Selain itu juga, skrin TFT tersebut akan memaparkan simbol spanar sebagai peringatan penyelenggaraan untuk pemiliknya apabila sudah tiba masanya skuter itu diselenggara. Spesifikasi yang lain adalah sama seperti mana model terdahulu, antaranya ialah kunci pintar atau Smart Key. Sistem kunci pintar itu begitu mudah digunakan sama ada untuk menghidupkan, mematikan enjin, membuka ruang simpanan dan juga tangki bahan api tanpa perlu mengeluarkan kunci dari poket. Teknologi kunci pintar itu juga lebih selamat.

WMoto RT3S kekal menggunakan sistem ABS berjenama Bosch yang berkualiti tinggi pada brek depan dan belakang, untuk meningkatkan lagi keselamatan penunggangnya. Skuter itu turut diberi penarafan lima bintang menerusi Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP), yang mengiktiraf WMOTO RT3S 2022 ini sebagai motosikal paling selamat yang dilengkapi sistem brek yang efisen iaitu Anti-Lock Braking System (ABS).

Di bahagian enjin, WMoto RT3S dikuasakan enjin bersesaran 247cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, DOHC) yang dipadankan transmisi automatik CVT yang lancar. Janaan kuasa maksimum enjin yang mematuhi piawaian Euro 4 itu mencapai 23hp @ 8,000rpm dengan tork 22.5Nm @ 6,500rpm. Ianya turut dilengkapi sistem suntikan bahan api EFI dan sistem penyejukan jenis cecair. Dengan kapasiti tangki petrol 17 liter, WMoto RT3S ini mampu menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh dengan hanya sekali isian.

Untuk pasaran Malaysia, WMoto RT3S 2022 ini didatangkan dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Justice Blue, Union Red dan Youth Grey. Pada badan skuter itu juga terpampang pelekat grafik TFT yang besar di kiri dan kanan. Harga jualan asasnya pula adalah sebanyak RM 17,888.00, tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan.