Yamaha Tricity 125 2022 diperkenalkan di pasaran Eropah dengan pelbagai naik taraf terkini

Pada bulan Mei yang lepas, Yamaha Motor Europe dengan rasminya memperkenalkan model terbaharu Yamaha Tricity 125 2022. Model skuter unik dengan roda tiga khusus untuk kegunaan di kawasan bandar itu kini telah menerima beberapa naik taraf terkini, menjadikannya prestasinya lebih cekap, lebih mesra alam sekitar dan lebih selesa.

Yamaha Tricity 125 kini dikuasakan enjin Blue Core yang patuh piawaian emisi Euro 5. Enjin bersesaran 125cc (4-stroke, Liquid-cooled, SOHC, Single cylinder, 4-valves, VVA) itu menawarkan kuasa maksimum 12hp @ 8,000rpm dengan tork 11.2Nm @ 6,000rpm. Turut melengkapi model berkenaan ialah Starter Generator Control Unit (SGCU), Smart Motor Generator dan sistem Stop-and-Start yang cekap, senyap dan lebih mesra alam.

Antara naik taraf terkini yang lain pada Tricity 125 ialah sistem stereng LMW Ackermann kini telah dioptimumkan rekaannya, dilengkapi rangka rekaan baharu untuk tunggangan yang lebih selesa dan stabil, suspensi belakang dipertingkatkan kemampuannya, tahap kecekapan sistem brek UBS (Unified Brake System) dioptimumkan, paparan digital LCD kini mempunyai sambungan ke telefon pintar, dan turut didatangkan sistem Smart Key.

Yamaha Tricity 125 2022 turut menawarkan lebih keselesaan kepada penunggang dan penumpang, apabila ianya kini mempunyai ruang kaki yang lebih luas dan pemijak kaki belakang yang kini lebih mudah dikeluarkan dari kedudukan terlipatnya. Melengkapkan lagi model skuter itu ialah ruang storan di bawah tempat duduk dan pada poket depan, dan lampu depannya kini lebih terang dan lebih luas pada pancaran rendah dan tinggi.

Untuk perjalanan yang lebih jauh, Yamaha Tricity 125 mempunyai kapasiti tangki bahan api 7.2 liter. Selanjutnya tinggi tempat duduk model dengan berat basah 168 kg itu ialah 785 mm, tayar depan dan belakangnya hadir dalam siri 90/80-R14 dan 130/70-R13, dan tiga pilihan warna menarik yang disediakan ialah Sand Grey, Petrol Blue dan Matt Grey.