Pengeluaran Benelli RFS150i telah ditamatkan, kini tidak lagi dipaparkan di dalam laman sesawang Benelli Malaysia

Benelli RFS150i merupakan salah sebuah model moped yang pernah mewarnai dunia permotoran tanah air. Namun impak yang dibawakan oleh model tersebut agak kurang kelihatan, dan popularitinya sentiasa dibayangi oleh model-model moped lain keluaran Yamaha dan Honda. Akhirnya kini pengeluarannya telah pun ditamatkan secara rasmi.

Menurut sumber yang diperolehi sebelum ini, pengeluaran Benelli RFS150i sebenarnya telah pun ditamatkan sejurus pelancaran model moped terbaharu Benelli R18i. Namun pada ketika itu sehinggalah tibanya bulan Mac 2022, model moped dengan fork depan jenis terbalik itu masih lagi dipaparkan di dalam laman sesawang milik Benelli Malaysia.

Namun kini halaman yang memaparkan maklumat mengenai Benelli RFS150i di dalam laman sesawang Benelli Malaysia telah pun dikeluarkan sepenuhnya, dan yang tinggal kini hanyalah paparan model Benelli R18i. Tanpa disedari oleh ramai peminat motosikal tempatan, begitulah berakhirnya episod suka dan duka model moped Benelli RFS150i.

Oleh itu bagi mengenang kembali model yang pernah mendapat perhatian ramai suatu ketika dahulu, kita imbas kembali sejarah dan spesifikasinya. Benelli RFS150i mulanya dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia pada bulan April 2017. Pelancaran model itu merupakan suatu kejutan kerana tidak ramai yang menyangka bahawa Benelli akan mengeluarkan sebuah moped, dan Malaysia menjadi negara pertama menerimanya.

Benelli RFS150i kemudiannya dilancarkan di banyak pasaran luar negara, termasuklah di pasaran Vietnam, Filipina, China, Algeria dan juga Georgia. Spesifikasi teknikal pada model tersebut boleh dikatakan memuaskan, apabila ianya dilengkapi enjin bersesaran 149.8cc dengan kuasa maksimum 15.4PS @ 8,500rpm dan tork 13Nm @ 7,000rpm.

Sejak tahun 2018 sehinggalah pada awal tahun 2021, jualan Benelli RFS150i seringkali dibayangi oleh dua model moped popular yang lain di pasaran tempatan iaitu Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Namun begitu Benelli RFS150i tetap mendapat perhatian ramai peminat motosikal moped tempatan yang kagum dengan teknologi buatan Itali.

Akhirnya mulai April 2021, Benelli RFS150i telah digantikan dengan model Benelli R18i, yang tampil dengan reka bentuk lebih sporty dan enjin 174cc. Bagaimanapun jika anda masih mahu memiliki Benelli RFS150i ini, masih terdapat kedai-kedai yang menjual stok lama model tersebut. Bagaimanapun, masih adakah yang berminat untuk memilikinya?