Pada tarikh 13hb. November 2019 yang lalu, Boon Siew Honda dengan rasminya telah memperkenalkan Honda Dash 125 versi kemaskini terbaharu, yang kini didatangkan dengan warna dan jalur grafik baharu yang tampil lebih menarik dan sporty.
Honda Dash 125 model tahun 2020 tersebut ditawarkan dalam empat pilihan warna, yang mana warna Clipper Yellow dan Candy Scintillate Red merupakan pilihan warna terbaharu yang diperkenalkan. Dua lagi pilihan warna iaitu Pearl Nightfall Blue dan Repsol Edition pula merupakan pilihan warna terdahulu.
Di samping itu, kesemua empat pilihan warna tersebut diserikan lagi dengan kemaskini rekaan jalur grafik baharu yang kelihatan cukup bergaya dan menyerlah.
Honda Dash 125 terbaharu yang ditawarkan di pasaran tempatan ini kekal ditawarkan dalam pilihan varian brek cakera tunggal atau varian dua brek cakera, namun untuk model Repsol Edition, hanya varian dengan dua brek cakera sahaja yang ditawarkan.
Honda Dash 125 dikuasakan enjin 124.89cc yang lancar dan berprestasi, bersama-sama tahap kecekapan penggunaan bahan api yang tinggi. Enjinnya itu menghasilkan kuasa maksimum 9.85hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 9.54Nm @ 6,500rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model kapcai itu termasuklah lampu depan LED dengan tambahan visor untuk penglihatan dan ketahanan yang lebih baik.
Berikut ialah senarai harga Honda Dash 125 bagi model tahun 2020 :
Honda Dash 125 (Single Disc-Brake) : RM 5,999.00
Honda Dash 125 (Double Disc-Brake) : RM 6,299.00
Honda Dash 125 Repsol Edition (Double Disc-Brake) : RM 6,499.00
Kesemua senarai harga yang dipaparkan itu merupakan harga jualan asas, yang belum termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.