Keeway Cafe Racer 152 2022 versi facelift terbaharu kini di pasaran Malaysia, harga asas RM 6,888.00

Model retro Keeway Cafe Racer 152 2022 versi facelift terbaharu kini telah pun berada di pasaran Malaysia, dengan harga jualan asas sebanyak RM 6,888.00. Model tersebut didatangkan dengan tiga skim pilihan warna yang menarik iaitu hijau, hitam dan merah, serta mempunyai penampilan terkini yang lebih menyerlah berbanding versi terdahulu.

Antara perubahan terkini pada model cafe racer itu termasuklah kehadiran kelengkapan cover pelindung lampu depan, suspensi belakang kini tanpa subtank, dan tempat duduk kini tampil rata tanpa penutup di bahagian pembonceng. Spesifikasi teknikal melibatkan enjin, brek, lampu dan panel meter pula didapati kekal sama seperti versi sebelumnya.

Berdasarkan model generasi terdahulu, Keeway Cafe Racer 152 2022 dikuasakan enjin bersesaran 149cc, dengan sistem karburetor dan penyejukan udara. Enjin empat lejang satu silinder dengan dua injap itu kemudiannya dipadankan sistem transmisi 5 kelajuan, dan ianya turut disediakan dengan sistem penghidup jenis tendang dan juga elektrik.

Kuasa maksimum yang ditawarkan enjin itu mencapai 11.4hp @ 8,500rpm, dengan tork 11.1Nm @ 6,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 12.1 liter. Fork depan model itu merupakan jenis teleskopik, manakala sistem breknya merupakan jenis cakera bersaiz 220 mm di bahagian depan, dan digandingkan dengan brek jenis dram di belakangnya.

Untuk anda yang berminat dengan model terbaharu Keeway Cafe Racer 152 2022 versi facelift ini, anda boleh kunjungi mana-mana cawangan pengedar yang berdekatan, bagi mendapatkan informasi lebih tepat dan melihat sendiri motosikal itu dengan lebih dekat. Sebelum itu, saksikan dahulu gambar-gambar menariknya di dalam galeri di bawah.

Sumber gambar : CK Motorworld FB, TR Motorworld FB & Hot Bike Penang FB

Galeri : 2022 Keeway Cafe Racer 152 (New Facelift Version)

Galeri : 2021 Keeway Cafe Racer 152