Skuter elektrik Yamaha NEO’s 2022 diperkenalkan di pasaran Eropah, harga bermula dari RM 16,608.00

Yamaha baru-baru ini memperkenalkan sebuah model skuter elektrik terbaharu untuk pasaran Eropah, yang didatangkan dalam dua pilihan warna menarik iaitu Milky White dan Midnight Black. Bakal berada di beberapa pasaran Eropah terpilih mulai Mei 2022 akan datang, harga jualannya bermula dari £ 3,005.00, bersamaan RM 16,608.00.

Yamaha NEO’s digerakkan menggunakan teknologi terkini Yamaha Integrated Power Unit (YIPU), yang kemudiannya digabungkan dengan bateri lithium ion 50.4V/19.2Ah. Bateri mudah alih yang berada di bawah tempat duduk itu dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 37 km dengan hanya sekali cas (WMTC Class 1, STD Mode).

Untuk perjalanan lebih jauh, sebuah lagi bateri mudah alih boleh ditambah di bahagian ruang yang tersedia, menjadikan jarak perjalanan keseluruhan kepada 68 km. Namun tambahan bateri kedua yang ditawarkan sebagai pilihan itu akan mengurangkan ruang barangan peribadi di bawah tempat duduknya, yang mempunyai ruang seluas 27 liter.

Yamaha NEO’s turut dilengkapi dengan dua mod tunggangan, STD dan ECO. Dengan mod ECO, jarak perjalanannya dikatakan mampu mencapai sehingga 38.5 km. Beralih ke operasi pengecasan di rumah (wall charger 220VAC; output 58.8V, 3A), ianya akan mengambil masa sekitar 8 jam, bermula dari kapasiti 0 sehingga penuh 100 peratus.

Sama seperti skuter biasa, spesifikasi lain Yamaha NEO’s adalah seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal dengan lengan ayun @ swingarm, brek cakera depan, brek belakang jenis dram, tayar depan dan belakang 110/70-13 dan 130/70-13, ketinggian tempat duduk 795 mm, dan berat 90 kg (tanpa bateri dengan berat 8 kg).

Selain tampil dengan gaya rekaan ringkas, kompak dan bergaya, Yamaha NEO’s turut dilengkapi panel meter digital LCD pelbagai informasi, sistem kunci Smart Key (keyless system), sistem lampu LED sepenuhnya, serta boleh dihubungkan ke aplikasi Yamaha MyRide untuk operasi panggilan telefon dan melihat informasi model skuter elektrik itu.