Era baharu Suzuki di pasaran Malaysia kini boleh dikatakan baru saja bermula, dengan pelancaran tiga buah model terbaharu dalam segmen 150cc iaitu Suzuki Raider R150, Suzuki GSX-S150 dan Suzuki GSX-R150, baru-baru ini. Selepas ini, mungkinkah masih terdapat model-model menarik lain dalam segmen 250cc, yang akan turut dilancarkan?
Setakat ini Suzuki Malaysia masih belum memberikan sebarang petunjuk jelas bahawa mereka akan turut melancarkan model-model terbaharu lain dalam kelas 250cc. Namun jika perancangan tersebut ada, adakah kemungkinan model-model terbaharu yang akan dilancarkan itu ialah Suzuki GSX250R, Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250?
Suzuki GSX250R merupakan sebuah model sport bike full fairing yang dikuasakan enjin berkapasiti 248cc (liquid-cooled, 4-stroke, 2-cylinder / SOHC, 2-valve), dengan keluaran kuasa maksimum 24PS @ 8,000rpm dan tork puncak 22Nm @ 6,500rpm, kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan. Kapasiti penuh tangki bahan apinya ialah 15 liter.
Bagi model Suzuki Gixxer 250 pula, ianya merupakan sebuah model naked, sementara Suzuki Gixxer SF250 pula merupakan sebuah model sport bike full fairing. Kedua-dua model itu dikuasakan enjin bersesaran 249cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve), lengkap dengan sistem penyejukan jenis minyak SOCS (Suzuki Oil Cooling System).
Enjin satu silinder itu kemudiannya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 26PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 22.6Nm @ 7,500rpm. Kapasiti penuh tangki bahan api yang melengkapi kedua-dua model itu ialah 12 liter. Dari segi reka bentuk, kedua-duanya tampil sederhana namun tetap sporty.
Jika benar Suzuki GSX250R, Suzuki Gixxer 250 dan Suzuki Gixxer SF250 ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia pada suatu hari nanti, ianya bakal memberikan pilihan yang lebih pelbagai kepada peminat Suzuki. Ini kerana walau pun model-model dengan enjin 150cc telah ditawarkan, masih ramai yang mahukan model dengan enjin 250cc.
Cuma daripada segi penerimaan pasaran, belum dapat dipastikan dengan tepat sama ada ketiga-tiganya mempunyai ‘wow factor’ untuk menarik perhatian pembeli, sama ada melibatkan gaya rekaan, kuasa enjin dan harga. Pada pendapat anda, perlukah Suzuki Malaysia memperkenalkan ketiga-tiga model tersebut untuk pasaran di negara kita?