BMW G 310 R versi China kini di pasaran, harga RM 9,390.41

Model naked BMW G 310 R mula berada di pasaran antarabangsa secara rasmi mulai tahun 2018. Pada penghujung 2020, generasi kedua model berkenaan diperkenalkan, tampil dengan beberapa perubahan terkini, termasuk enjin yang patuh piawaian Euro 5. Pada Ogos 2021 pula, BMW G 310 R 2021 telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia.

Untuk pasaran China bagaimanapun, kini terdapat pilihan yang lebih mampu milik untuk BMW G 310 R, dengan kemunculan versi klonnya yang tampil begitu mirip sekali. Versi klon itu menawarkan rekaan yang sama seperti mana BMW G 310 R generasi pertama, namun hanya dikuasakan enjin bersesaran 247.5cc, dengan transmisi enam kelajuan.

Enjin satu silinder (liquid cooled, four valve, Delphi EFi) itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 24.13hp dengan tork maksimum 23.5Nm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 12 liter. Spesifikasi lain yang melengkapi model naked itu termasuklah fork depan USD, suspensi belakang tunggal, brek cakera depan dan belakang, dan sistem lampu LED.

Tayar depan dan belakangnya pula berukuran 110/70-R17 dan 140/70-R17, sementara berat BMW G 310 R buatan China itu mencapai 150 kg. Harga jualan yang ditetapkan untuk model itu di dalam laman sesawang JD.com pula ialah sebanyak CNY 14,250.00, iaitu bersamaan RM 9,390.41, boleh dikatakan berbaloi dengan apa yang ditawarkan.