Skuter Honda SH350i 2022 tampil dalam versi Sporty Edition

Pada tahun lepas, Honda SH350i 2021 di pasaran Eropah telah menerima beberapa naik taraf ekstensif dengan enjin yang lebih besar, casis yang telah dikemaskini semula dan lebih ringan, serta penampilan baharu yang lebih segar. Untuk musim 2022, model skuter tersebut kini telah didatangkan dalam versi Sporty Edition yang lebih menarik.

Honda SH350i 2022 dalam versi Sporty Edition kini ditawarkan dalam dua pilihan warna baharu iaitu Pearl Falcon Gray dan Mat Blacky Gray Metallic. Kedua-dua pilihan warna itu menampilkan beberapa sentuhan premium yang lebih mewah, termasuklah rim roda, fork depan, carrier belakang dan penutup enjin yang tampil dalam warna Matt Grey.

Selain itu ialah tempat duduk dengan benang jahitan berwarna merah, jalur merah dan kelabu pada rim roda, serta logo Honda dan SH berwarna merah. Empat pilihan warna terdahulu iaitu Mat Carnelian Red Metallic, Mat Ruthenium Silver Metallic, Pearl Cool White dan Black turut dikekalkan untuk musim 2022, untuk pilihan yang lebih pelbagai.

Di pasaran Eropah, Honda SH350i 2022 dilengkapi enjin 330cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, single, four-valve) yang bertaraf Euro 5, dan dipadankan transmisi automatik V-Matic. Janaan maksimum yang dihasilkan oleh enjin yang cekap itu mencapai 29.36PS @ 7,500rpm, dengan tork maksimum yang berada pada paras 32Nm @ 5,250rpm.

Pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda SH350i ini antaranya ialah HSTC (Honda Selectable Torque Control), lampu depan dan belakang LED, panel instrumen digital pelbagai maklumat, pengecas USB jenis Type-C, brek cakera di depan dan belakang dengan ABS Dual Channel, dan sistem lampu Emergency Stop Signal.

Honda SH350i 2022 turut dilengkapi dengan kemudahan Smart Key, ruang yang luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah topi keledar, tayar dalam ukuran 110/70-R16 (depan) dan 130/70-R16 (belakang), dan ketinggian tempat duduk 805 mm. Jarak kelegaan bumi skuter tersebut ialah 157.8 mm, dan berat 174 kg (kerb weight).