Husqvarna Svartpilen 125 2022 terima kemaskini warna dan grafik baharu untuk pasaran Eropah

Husqvarna Motorcycles baru-baru ini telah memperkenalkan Svartpilen 125 2022 untuk pasaran Eropah, yang kini telah menerima kemaskini warna dan grafik baharu. Aspek teknikal bagaimanapun kekal tidak berubah dan masih sama seperti mana model tahun sebelumnya, antaranya dilengkapi enjin bersesaran 125cc yang patuh piawaian Euro 5.

Model yang sesuai untuk pemegang lesen A1 di pasaran Eropah itu turut dilengkapi ciri-ciri menarik seperti sistem suspensi WP, sistem brek ByBre, Bosch ABS, dan juga casis yang kompak dan ringan untuk nisbah kuasa kepada berat yang optimum. Menawarkan tunggangan yang lincah, Svartpilen 125 dikatakan sempurna untuk penunggang muda.

Melengkapkan lagi spesifikasi Husqvarna Svartpilen 125 2022 ialah sistem lampu LED, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 9.5 liter, ketinggian tempat duduk 835 mm dan berat hanya 146 kg (tanpa bahan api). Rim rodanya pula merupakan jenis berjejari 17 inci, yang dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR untuk pelbagai permukaan jalan.

Artikel berkaitan : Husqvarna Svartpilen 125 2021 dilancarkan untuk pasaran Eropah