Honda Vario 150 2020 terima kemaskini warna baharu, harga bermula RM 7,499.00

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) hari ini memperkenalkan kemaskini warna terbaharu untuk model skuter Honda Vario 150 2020, yang kini didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Pearl Magellanic Black, Force Silver Metallic dan Sword Silver Metallic. Warna terdahulu Repsol Edition masih kekal ditawarkan seperti biasa.

Selain daripada kemaskini warna baharu, tiada sebarang perubahan lain dari segi teknikal. Harga jualan asas untuk Honda Vario 150 2020 ialah RM 7,499.00 untuk model dengan tiga warna tersebut, manakala harga asas model Repsol Edition ialah RM 7,699.00 (kesemua harga tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Honda Vario 150 2020 untuk pasaran tempatan dilengkapi enjin bersesaran 149.3cc (Satu Silinder, Penyejuk Cecair, SOHC, 4-Lejang 2-Injap) dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi, yang menghasilkan kuasa maksimum 13.1PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.4Nm @ 5,000rpm. Sistem transmisinya ialah automatik V-Matic.

Beralih ke bahagian suspensi, ianya terdiri daripada fork teleskopik di bahagian depan, sementara di bahagian belakangnya ialah Swing Arm dengan suspensi tunggal. Untuk pemberhentian yang sentiasa selamat dan terkawal, ianya ditugaskan kepada brek cakera depan dan brek dram belakang, kedua-duanya dilengkapi sistem brek CBS.

Selain mempunyai penampilan yang sporty dan elegan, Honda Vario 150 2020 hadir dengan ciri-ciri seperti lampu depan DWI LED dengan lampu LED pencahayaan siang, panel meter LCD digital, sistem kunci pintar Honda, lampu belakang LED dengan lampu signal LED, rak dalam berkembar, dan ruang penyimpanan berkeluasan 18 liter.

Untuk ketenangan minda pemiliknya, Honda Vario 150 2020 hadir dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km, mengikut mana-mana yang terdahulu.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?