Skuter maxi Zontes ZT310M bakal dilancarkan di pasaran Malaysia, kuasa maksimum 33.3PS dengan tork 32Nm

Antara khabar angin yang terdengar sebelum ini ialah Zontes Malaysia dikatakan bakal melancarkan sebuah model skuter maxi terbaharu untuk pasaran tempatan. Kini berita tersebut telah pun disahkan kebenarannya oleh Zontes Malaysia, melalui paparan yang tersiar di dalam laman web mereka mengenai kedatangan model Zontes ZT310M.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Zontes ZT310M dikuasakan enjin bersesaran 309cc (single-cylinder, SOHC, liquid-cooled, fuel injection BOSCH) dengan padanan transmisi automatik. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 33.3PS @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 32Nm @ 5,500rpm. Jumlah kuasa dan tork tersebut boleh dikatakan begitu impresif, apatah lagi apabila berat skuter maxi berkenaan hanyalah 168 kg sahaja.

Tangki minyaknya mempunyai kapasiti maksimum 12 liter, manakala tahap penggunaan bahan api berada pada kadar memuaskan 3.2/100 (l/km). Spesifikasi menariknya yang lain termasuklah dua mod tunggangan iaitu E untuk penjimatan dan S untuk sport, kunci Keyless generasi kedua yang kini lebih canggih, sistem lampu LED, panel meter digital TFT berwarna dan skrin penghadang angin yang luas dengan ciri pelarasan elektrik.

Selain itu ianya juga didatangkan dengan kemudahan port pengecas pantas USB untuk kemudahan mengecas telefon bimbit. Teknologi ‘tire pressure monitoring system’ dan sistem brek ABS dual-channel seterusnya menjamin ciri keselamatan yang lebih baik. Panel instrumen TFT Zontes 310M juga boleh dihubungkan dengan aplikasi ZONTES Intelligent APP, melalui ciri sambungan Bluetooth untuk pelbagai kemudahan digital.

Zontes 310M juga dikatakan sebuah model yang serba boleh, serta mampu meredah laluan off-road tanpa sebarang masalah dengan jarak kelegaan bumi minimum 160 mm. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 770 mm, sementara ukuran tayar depan dan belakangnya masing-masing didatangkan dalam siri 110/80-R14 dan 140/70-R14.

Setakat ini Zontes Malaysia masih belum mendedahkan tarikh rasmi untuk pelancaran model skuter maxi yang tampil sporty, berprestasi dan agresif ini. Berdasarkan paparan gambar-gambar menariknya dalam galeri di bawah, Zontes ZT310M tersedia dalam tiga pilihan warna yang menarik, dikenali sebagai Ruby Red, Special Black dan Pearl White.