MV Agusta Brutale 1000 Nürburgring 2021 diperkenalkan, edisi terhad 150 unit, harga bermula dari RM 192,337.98

MV Agusta baru-baru ini rasmi memperkenalkan sebuah model terbaharu iaitu MV Agusta Brutale 1000 Nürburgring 2021, dalam edisi terhad 150 unit sahaja. Harganya bermula dari 39,900 Euro, bersamaan RM 192,337.98 mengikut kadar semasa. Kesemua unit model tersebut memiliki nombor siri masing-masing di sebelah sisi kanan air intake (XXX / 150).

MV Agusta Brutale 1000 Nürburgring diasaskan daripada model MV Agusta Brutale 1000 RR 2021, dan dilengkapi enjin bersesaran 998cc (four cylinder, 4 stroke, 16 valve, DOHC, radial valve and DLC tappet) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Sistem transmisi itu dibantu oleh sistem quick shift MV EAS 3.0 (Electronically Assisted Shift Up & Down).

Jumlah kuasa maksimum yang dihamburkan oleh enjin bertaraf Euro 5 itu ialah 208hp @ 13,000rpm, dengan tork maksimum 116.5Nm @ 11,000rpm. Dengan berat kering hanya 183 kg, kelajuan maksimumnya dikatakan melebihi 300 km/j. Kapasiti penuh tangki bahan api model itu ialah 16 liter, dengan tahap penggunaan bahan api gabungan 6.8 l/100 km.

Di bahagian suspensi, MV Agusta Brutale 1000 Nürburgring dilengkapi fork depan upside down Öhlins Nix EC, dan dipadankan dengan unit monoshock Öhlins EC TTX di bahagian belakangnya. Melengkapkan sistem suspensinya ialah steering damper Öhlins EC. Pada bahagian brek, sistem brek Brembo dengan ABS memainkan peranan dengan berkesan.

Tinggi pelana MV Agusta Brutale 1000 Nürburgring berada pada paras 845 mm, saiz roda depan dan belakang 120/70-R17 dan 200/55-R17, dan jarak kelegaan tanah minimumnya ialah 141 mm. Melengkapkan lagi spesifikasi model tersebut ialah komponen karbon pada beberapa bahagian, termasuklah rim karbon hasil kerjasama rapat dengan jenama BST.

MV Agusta Brutale 1000 Nürburgring turut dilengkapi dengan pelbagai sistem elektronik canggih, antaranya seperti torque control, traction control, wheelie control, launch control, cruise control, engine control, dan paparan TFT 5.5 inci berwarna dengan ciri sambungan Bluetooth. Sistem lampu depan dan belakang pula merupakan jenis LED sepenuhnya.

Turut disediakan sebagai pilihan ialah Racing Kit, yang merangkumi sistem ekzos Arrow (full titanium exhaust system with single silencer carbon fiber silencer cover), ECU yang tampil dengan pemetaan khusus (ECU with dedicated map), dan penutup tempat duduk belakang karbon (carbon fiber passenger seat cover Certificate of origin Limited Edition).