Model retro klasik Kawasaki W800 2022 baru saja diperkenalkan di pasaran Indonesia. Kini tampil dengan pilihan warna tunggal terbaharu iaitu Merah (Red), yang menjadikan penampilannya lebih menawan dan elegan. Untuk pasaran Indonesia, Kawasaki W800 2022 ini ditawarkan pada harga Rp 291,000,000, bersamaan nilai RM 83,790.89.
Kawasaki W800 dikuasakan enjin bersesaran 773cc (Air-cooled, 4-stroke Vertical Twin, SOHC, 8 valves, Fuel injection) dengan kuasa maksimum 52PS @ 6,500rpm dan tork 62.9Nm @ 4,800rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi lima kelajuan. Untuk perjalanan jauh, tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 15 liter.
Sebagai sebuah motosikal yang kental dengan gaya klasik, Kawasaki W800 dilengkapi panel meter bergaya tradisional, tangki minyak dengan lambang krom, lampu depan LED berbentuk bulat, tayar depan 19 inci, mudguard krom klasik, lampu belok berwarna kuning yang besar, dan posisi tempat duduk dengan ciri tunggangan bergaya vintaj.
Jaminan keselamatan dan keselesaan dimainkan peranannya oleh sistem brek cakera dengan ABS, fork depan 41mm, suspensi belakang berkembar (twin shocks with spring preload adjustability), dan termasuklah sistem Assist & Slipper Clutch. Kawasaki W800 2022 mempunyai ketinggian tempat duduk 790 mm, dengan berat 226 kg (curb mass).