Yamaha Sniper 155 dan Sniper 155R 2021 akan dilancarkan secara rasmi di pasaran Filipina esok

Selepas pasaran Vietnam dan Malaysia, nampaknya pasaran Filipina menjadi pasaran ketiga yang menerima kehadiran model super moped terbaharu Yamaha dengan enjin 155cc VVA. Untuk pasaran negara kepulauan itu, model tersebut akan dikenali dengan nama Yamaha Sniper 155 dan Yamaha Sniper 155R, dalam dua versi yang berbeza.

Sebenarnya, Yamaha Sniper 155 dan Yamaha Sniper 155R telah tiba lebih awal di wakil pengedar Yamaha di Filipina, sejak awal bulan Mei 2021 lagi. Malah model moped yang sporty dan berprestasi itu juga telah pun dimiliki oleh pembeli terawal di sana. Apa yang peliknya ialah pelancaran rasmi hanya akan berlangsung pada keesokan hari.

Untuk pasaran Filipina, Yamaha Sniper 155 2021 merupakan versi Standard, manakala Yamaha Sniper 155R 2021 pula merupakan versi Premium. Spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ditawarkan untuk model berkenaan dipercayai sama seperti model Yamaha Exciter 155 VVA di pasaran Vietnam dan Yamaha Y16ZR di pasaran Malaysia.

Dengan pelancaran Yamaha Sniper 155 dan Yamaha Sniper 155R di pasaran Filipina itu, apakah signifikannya untuk pemilik Yamaha Y16ZR di pasaran Malaysia? Seperti biasa, sudah tentu ramai pemilik Yamaha Y16ZR yang dijangka akan memasang cover set milik Yamaha Sniper 155R pada motosikal masing-masing, demi mencari kelainan.

Untuk maklumat lanjut yang lebih lengkap, sama-sama kita tunggu pelancaran Yamaha Sniper 155 2021 dan Yamaha Sniper 155R 2021 di pasaran Filipina esok, pada tarikh 22hb. Mei 2021 (Sabtu). Pelancaran rasmi model moped tersebut akan disiarkan secara langsung melalui laman FB Yamaha Motor Philippines, Inc., pada jam 6.00 petang.