Benelli Malaysia bakal melancarkan sebuah model moped terbaharu pada tarikh 11hb. April 2021 (Ahad), seperti mana yang diumumkan baru-baru ini. Setakat ini apa yang masih menjadi misteri ialah berapakah kapasiti enjin yang bakal melengkapi model itu, adakah 175cc, 180cc atau 200cc seperti mana yang heboh diperkatakan sebelum ini?
Oleh itu bagi menghangatkan lagi pelancaran model berkenaan tidak lama lagi, Benelli Malaysia telah menyiarkan sebuah video teaser terbaharu di dalam halaman Facebook mereka sebentar tadi. Video teaser tersebut memperlihatkan dua buah model moped terbaharu Benelli sedang ditunggang laju di litar yang dipercayai sebagai litar UniMAP.
Bagaimanapun oleh kerana ianya sebuah video teaser atau video acah-acah, kita tidak dapat melihat dengan jelas kedua-dua model tersebut. Apa yang pasti ialah aksi di litar UniMAP itu seolah-olah memberikan petunjuk bahawa model moped terbaharu Benelli itu mempunyai keupayaan dan prestasi untuk mencapai tahap kelajuan yang tertinggi.
Mungkinkah model tersebut mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 160 km/j bagi merampas takhta sebagai raja jalanan terbaharu di pasaran Malaysia? Jika model itu mempunyai kelajuan maksimum yang bersesuaian dengan enjinnya, ditambah pula harga yang berpatutan, tidak mustahil inilah pencabar sebenar yang bakal muncul.