Kelajuan maksimum Benelli R18i 2021 mencecah 155 km/j

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar rasmi motosikal Benelli di pasaran Malaysia dengan rasminya kini telah melancarkan model moped terbaharu Benelli R18i 2021. Model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 174cc dan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghasilkan 18hp @ 9,500rpm dengan tork puncak 15.1Nm @ 7,000rpm.

Oleh kerana ianya dikuasakan enjin yang lebih besar dan jumlah janaan kuasa dan tork maksimum yang lebih tinggi, pastinya ramai peminat motosikal tempatan yang ketika ini tertanya-tanya berapakah kelajuan maksimum yang mampu dicapai olehnya. Setakat ini tiada maklumat rasmi dari MForce Bike mengenai kelajuan maksimum model tersebut.

Bagaimanapun jika anda lihat video pelancaran Benelli R18i 2021 yang disiarkan oleh MForce Bike, terdapat petunjuk jelas bahawa kelajuan maksimum yang mampu dicapai oleh model berkenaan mencecah sehingga 155 km/j. Jika benar, kelajuan yang berjaya dicapai itu sudah memadai kerana ianya bersesuaian untuk sesebuah model moped.

Kelajuan maksimum 155 km/j pada speedometer standard Benelili R18i 2021 apabila diterjemahkan kepada kelajuan GPS pula, mungkin berada dalam lingkungan 145 km/j. Kelajuan 145 km/j GPS itu pun sebenarnya boleh dikatakan sudah cukup laju, hampir sama dengan kelajuan model-model moped lain terutamanya Yamaha Y16ZR 2021.

Untuk peminat motosikal tempatan yang mementingkan kelajuan, Benelli R18i 2021 ini boleh menjadi salah satu pilihan yang tepat. Dengan enjin bersesaran 174cc, model ini berada di belakang SYM VF3i 185 yang dilengkapi enjin bersesaran 183cc. Benelli R18i akan berada di pasaran tempatan secara rasmi bermula dari tarikh 12hb. April 2021.