Yamaha MT-25 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, terima kemaskini warna baharu, harga RM 15,937.84

Yamaha MT-25 2021 untuk pasaran Indonesia kini rasmi dilancarkan, dengan pilihan dua skim warna baharu Metallic Dark Gray dan Metallic Blue. Harga yang ditetapkan pula adalah sebanyak Rp. 55,460,000 (OTR Jakarta), bersamaan RM 15,937.84.

Kedua-dua skim warna baharu itu merupakan yang terkini jika dibandingkan dengan model Yamaha MT-25 2020 yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada September yang lepas. Namun begitu model di pasaran Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri apabila ianya dilengkapi dengan sistem brek ABS berbanding di pasaran Indonesia.

Yamaha MT-25 2021 untuk pasaran Indonesia didapati masih mengekalkan spesifikasi yang sama seperti model tahun sebelumnya. Antaranya enjin yang bersesaran 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan, dan keluaran kuasa maksimum 35.5hp @ 12,000rpm dengan tork puncak 23.6Nm @ 10,000rpm.

Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti maksimum 14 liter. Beralih ke bahagian sistem suspensi, model naked tersebut dilengkapi fork depan jenis terbalik (USD) dan suspensi belakang jenis monoshock. Untuk keselamatan maksimum, Yamaha MT-25 dibekalkan sistem brek cakera di kedua-dua bahagian roda depan dan belakangnya.

Yamaha MT-25 2021 turut hadir dengan ciri-ciri moden seperti panel meter LCD dengan paparan Shift Timing Light, sistem lampu LED sepenuhnya dengan lampu depan jenis projektor, dan sepasang tayar tanpa tiub yang lebar dalam ukuran 110/70-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang). Akhir sekali berat motosikal naked sporty itu ialah 165 kg.