KTM baru saja melancarkan model kembara KTM 390 Adventure 2021 untuk pasaran tempatan, dengan harga asas RM 30,800.00. Jika anda merasakan harga tersebut agak tinggi dan anda pula hanya memiliki lesen dalam kelas B2, berita baiknya ialah pada masa yang sama KTM turut melancarkan model KTM 250 Adventure 2021.
Harga asas untuk model berkenaan juga lebih terjangkau iaitu sebanyak RM 21,500.00 sahaja, seterusnya memberikan lebih pilihan kepada semua peminat KTM di Malaysia. Bagaimanapun seperti dijangka, spesifikasi teknikal untuk KTM 250 Adventure lebih rendah berbanding KTM 390 Adventure, namun mengekalkan reka bentuk yang sama.
KTM 250 Adventure 2021 dilengkapi enjin bersesaran 248.8cc (1-cylinder, 4-stroke engine, liquid cooled) dengan padanan kotak gear enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 29.5hp dengan tork maksimum 24Nm. Enjin tersebut turut memiliki sistem slipper clutch, di samping mesra alam apabila patuh piawaian emisi Euro 5.
Sistem suspensinya merupakan gabungan fork depan WP APEX 43 (tanpa ciri boleh dilaraskan) dengan penyerap hentak belakang WP APEX – Monoshock (dilengkapi ciri pelarasan untuk prabeban sahaja), masing-masing dengan travel 170 mm dan 177 mm. Ketinggian tempat duduknya ialah 855 mm, dengan jarak kelegaan tanah 200 mm.
Sistem breknya pula terdiri daripada cakera tunggal di bahagian depan (four-piston radial fixed calliper) dan cakera tunggal di bahagian belakang (single-piston floating calliper), lengkap dengan sistem 2-channel ABS untuk tahap keselamatan tertinggi.
Dengan kapasiti maksimum tangki bahan api 14.5 liter dan sistem penjana kuasa yang ekonomi, KTM 250 Adventure dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan lebih 400 km. Ianya turut dibantu oleh roda depan 100/90-R19 dan roda belakang 130/80-R17, yang mana kedua-duanya dipasangkan tayar tanpa tiub MRF Morgrip Meteor-FM2.
Spesifikasi lain yang melengkapi KTM 250 Adventure ini antaranya termasuklah lampu depan halogen dengan lampu DRL, lampu signal LED dan panel meter digital LCD. Hasil semakan mendapati sistem Ride-by-Wire, KTM MY RIDE, Quick Shifter, MTC (Motorcycle Traction Control), Cornering ABS, panel meter digital TFT dan sistem suspensi boleh laras sepenuhnya kekal eksklusif untuk model KTM 390 Adventure.
Berat keringnya ialah 156 kg, tidak jauh berbeza dengan berat kering 158 kg KTM 390 Adventure. Spesifikasi KTM 250 Adventure tidak akan menyamai spesifikasi KTM 390 Adventure secara sepenuhnya, namun yang penting ialah harga jualannya yang lebih rendah dan telah memberi peluang kepada pemegang lesen B2 untuk memilikinya.