CCM Blackout 2021 boleh dimiliki pada harga bermula £8,995 OTR, terhad 180 unit

CCM Motorcycles yang berpengkalan di Bolton, United Kingdom, baru-baru ini telah memperkenalkan jentera scrambler istimewa CCM Blackout model tahun 2021. Model tersebut diasaskan daripada jentera scrambler di dalam siri CCM Spitfire, sebagai penghormatan di atas kemunculan istimewa di dalam filem blockbuster Black Widow.

CCM Blackout hanya akan dikeluarkan dalam jumlah terhad 180 unit sahaja, pada harga bermula £8,995 OTR, bersamaan RM 49,146.58 bagi model dengan skim warna Original. Bagi tiga pilihan skim warna yang lain iaitu Spark, Storm dan Back 2 Black, tambahan harga yang ditetapkan adalah sebanyak £999.99, bersamaan RM 5,463.71.

Spesifikasi teknikal CCM Blackout adalah seperti enjin 600cc (Single cylinder, Four-stroke, Liquid-cooled) dengan kuasa maksimum 55bhp, tork puncak 50Nm @ 5,500rpm, kotak gear enam kelajuan, suspensi depan dan belakang boleh laras dengan travel 120 mm, brek cakera depan dan belakang berukuran 320 mm dan 240 mm, tangki petrol 14 liter, tempat duduk dengan ketinggian 830 mm dan berat kering 145 kg.

Filem Black Widow yang berada di dalam Marvel Cinematic Universe bakal ditayangkan pada bulan Mei 2021, setelah beberapa kali jadual tayangannya ditangguhkan kerana pandemik Covid 19. Apabila ditayangkan nanti, anda akan berpeluang melihat jentera scrambler CCM Spitfire ditunggang oleh watak utama dalam aksi yang mendebarkan.