Honda Hornet 2.0 2020 serba baharu dilancarkan di pasaran India, dilengkapi enjin 184.40cc dan fork depan USD

Honda Motorcycle and Scooter India Pvt Ltd. kelmarin secara rasminya melancarkan Honda Hornet 2.0 2020 serba baharu untuk pasaran India. Menurut Honda, pelancaran model tersebut secara tidak langsung menandakan syarikat berkenaan kini telah memasuki pasaran 180cc – 200cc di dalam segmen motosikal tersebut di pasaran India.

Honda Hornet 2.0 hadir dengan pelbagai ciri-ciri canggih seperti fork depan USD (upside-down) berwarna emas, dikatakan sebagai yang pertama di dalam segmennya yang menampilkan fork USD, paparan meter digital LCD negatif sepenuhnya, brek cakera petal di depan dan belakang dengan ABS saluran tunggal, Engine Stop Switch, tayar depan dan belakang yang lebar, dan Hazard Switch untuk situasi kecemasan.

Honda Hornet 2.0 dilengkapi enjin bersesaran 184.40cc (4 Stroke, SI Engine, Air Cooled, BS-VI) yang berprestasi dan cekap, menawarkan kuasa maksimum 17hp (12.7kW) @ 8,500rpm dengan tork maksimum 16.1Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi lima kelajuan. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 12 liter, manakala berat motosikal ialah 142 kg (kerb weight).

Ciri-ciri menarik lain yang didatangkan untuk Honda Hornet 2.0 2020 serba baharu ini termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, kunci berdekatan tangki minyak, tempat duduk sporty jenis terpisah, rekaan tangki minyak yang agresif, suspensi belakang monoshock, dan empat pilihan warna yang menarik iaitu Matte Marvel Blue Metallic, Matte Sangria Red Metallic, Matte Axis Grey Metallic dan Pearl Igneous Black.

Harga yang ditawarkan untuk Honda Hornet 2.0 adalah sebanyak INR 123,456.00, bersamaan RM 7,178.18 mengikut kadar tukaran semasa. Honda turut menawarkan tempoh jaminan yang pertama di dalam industri untuk model berkenaan, iaitu pakej jaminan selama enam tahun (3 years standard + 3 years optional extended warranty).

Secara keseluruhannya, Honda Hornet 2.0 di pasaran India ini mempunyai reka bentuk yang sporty dan menawan, dengan kelengkapan ciri-ciri canggih dan moden yang pastinya dapat memenuhi citarasa pengguna masa kini. Tidak dinafikan model ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri jika turut dilancarkan di pasaran Malaysia.

(Visited 3,004 times, 1 visits today)