Ducati Diavel 1260 Lamborghini 2021, edisi terhad 630 unit

Jenama Ducati dan Lamborghini kedua-duanya merupakan anak syarikat milik penuh syarikat automotif multinasional Volkswagen Group. Baik Ducati mahu pun Lamborghini, produk yang dikeluarkan oleh kedua-dua syarikat berkenaan menjadi idaman peminat motosikal dan kereta di serata dunia, kerana teknologi, nilai estetika dan juga kualiti.

Apabila berada di bawah satu bumbung, tidak sukar untuk Ducati dan Lamborghini menjalinkan kerjasama dalam menghasilkan sesuatu produk istimewa dan unik. Seperti mana baru-baru ini Ducati dan Lamborghini telah melancarkan model terbaharu Ducati Diavel 1260 Lamborghini 2021, terhad 630 unit sahaja untuk pasaran di seluruh dunia.

Ducati Diavel 1260 Lamborghini diasaskan daripada model Lamborghini Siàn FKP 37, oleh itu warna “Gea Green” yang sama telah digunakan, di samping sentuhan warna “Electrum Gold” di bahagian kerangka, ruang ‘undertray’ di bawah tempat duduk dan pada rim roda jenis ‘forged’. Kaliper brek Brembo kekal dengan warna Ducati Red.

Lebih dari itu, kemasan warna pada Ducati Diavel 1260 Lamborghini diserikan lagi dengan kehadiran nombor 63, angka penting untuk syarikat Lamborghini yang berasal dari Sant’Agata Bolognese, Itali, tempat di mana ianya ditubuhkan pada tahun 1963. Angka tersebut apabila digandakan sehingga 10, menjadikannya kepada angka 630.

Elemen penting yang menjadi pengenalan kepada rekaan Lamborghini ialah hexagon dan motif huruf “Y”. Oleh itu Ducati Diavel 1260 Lamborghini memberi penghormatan melalui reka bentuk ekzos dan juga perincian rekaan di tempat duduk. Penggunaan material ringan seperti carbon fibre juga antara yang diilhamkan daripada Lamborghini.

Sistem penjana kuasa yang melengkapi Ducati Diavel 1260 Lamborghini ialah Ducati Testastretta DVT bersesaran 1,262cc yang bertaraf Euro 5, dengan keluaran maksimum 162hp @ 9,500rpm dan tork maksimum 129Nm @ 7,500rpm. Sistem suspensi boleh laras sepenuhnya daripada Öhlins melengkapkan kawalan motosikal cruiser tersebut.

Turut melengkapinya ialah sistem brek Brembo bersaiz 320 mm (depan) dan 265 mm (belakang), serta rangkaian pakej elektronik seperti Bosch 6-axis Inertial Measurement Unit (6D IMU), Bosch Cornering ABS EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Power Launch (DPL) EVO dan Cruise Control.


Artikel Popular Minggu Ini :

Dayang ADV150 diilhamkan daripada model Honda ADV150, dilengkapi enjin lebih berkuasa dan kamera depan belakang

Pelancaran rasmi Honda ADV150 2021 dijangka pada bulan Februari depan, harga asas sekitar RM 14k

Penampilan baharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 apabila dipasangkan lampu depan (headlamp) Yamaha Exciter 150