Yamaha YZF-R15 2020 dilancarkan di pasaran Thailand

Selepas pasaran Malaysia menerima kehadiran model Yamaha YZF-R15 2020 dalam pilihan dua warna terbaharu, kini pasaran Thailand turut menerima model yang sama. Namun begitu untuk pasaran Thailand, Yamaha YZF-R15 2020 didatangkan dalam tiga pilihan warna terbaharu iaitu Yamaha Racing Blue, Matt Gray dan Monster Black.

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang rasmi Yamaha Motor Thailand, spesifikasi teknikal untuk model Yamaha YZF-R15 2020 di pasaran negara Gajah Putih itu kekal sama seperti model tahun sebelumnya. Ianya dilengkapi enjin 155cc VVA dengan transmisi enam kelajuan dan turut dibantu oleh sistem Assist & Slipper Clutch.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model sport bike sporty itu termasuklah lampu depan dan belakang LED, panel meter digital sepenuhnya, fork depan jenis upside-down berwarna emas, brek cakera depan yang besar, lengan ayun aluminium yang ringan dan tayar lebar berukuran 100/80-R17 (depan) dan 140/70-R17 (belakang).

Untuk pasaran Thailand, Yamaha YZF-R15 2020 boleh dimiliki pada harga yang disyorkan sebanyak THB 97,500, bersamaan RM 12,963.92 mengikut kadar tukaran semasa. Untuk pasaran Malaysia pula, Yamaha YZF-R15 2020 ditawarkan pada harga RM 11,988.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

(Visited 4,209 times, 1 visits today)