Yamaha NMAX 2020 terbaharu dilancarkan di pasaran Filipina

Untuk pasaran Filipina pada awal September 2020 baru-baru ini, Yamaha dengan rasminya telah melancarkan model skuter Yamaha NMAX 2020 terbaharu. Model tersebut tampil dengan kemaskini facelift terbaharu yang elegan, di samping tambahan beberapa ciri baharu yang lebih moden, innovatif dan memberi lebih kemudahan.

Yamaha NMAX 2020 sebelum ini dilancarkan di pasaran Indonesia pada penghujung tahun 2019, dan kemudiannya dilancarkan di pasaran Thailand pada bulan April yang lalu. Untuk pasaran Malaysia pula, ianya merupakan salah sebuah model yang ditunggu-tunggu, namun belum pasti bilakah ianya akan dilancarkan secara rasmi.

Yamaha NMAX 2020 terbaharu dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 155cc (Liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve, Single Cylinder) dengan teknologi VVA (Variable Valve Actuation), yang kemudiannya dipadankan transmisi automatik V-belt. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork 13.9Nm @ 6,500rpm.

Antara ciri-ciri baharu yang ditonjolkan oleh Yamaha melalui NMAX 2020 terbaharu ini adalah seperti teknologi Stop & Start System, Smart Motor Generator, Smart Key System dan sistem brek Dual Channel ABS. Sistem brek ABS yang melengkapi roda depan dan belakang menawarkan ciri keselamatan yang lebih baik dan lebih cekap.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Yamaha NMAX 2020 terbaharu ini termasuklah lampu utama dan lampu belakang LED, lampu kecemasan (hazard lamp), panel meter digital sepenuhnya yang memberikan pelbagai informasi, suis kawalan bar hendal (handlebar switch control), ruang simpanan seluas 23.3 liter dan soket pengecas telefon bimbit.

Ketinggian tempat duduk Yamaha NMAX 2020 terbaharu berada pada paras hanya 765 mm, sesuai untuk kebanyakan penunggang di pasaran ASEAN. Berat keseluruhannya (wet weight) ialah 131 kg untuk model dengan ABS, dan 129 kg untuk model tanpa ABS. Untuk perjalanan lebih jauh, ianya dilengkapi kapasiti tangki bahan api 7.1 liter.

Harga yang ditawarkan untuk Yamaha NMAX 2020 terbaharu di pasaran Filipina adalah sebanyak P134,500.00 untuk versi dengan sistem brek ABS, bersamaan RM 11,507.53 mengikut kadar tukaran semasa. Tiga pilihan warna menarik yang disediakan untuk model berkenaan ialah Tech Camo, Matte Red dan Midnight Black.

Bagi versi tanpa sistem brek ABS, harga jualan yang ditawarkan ialah P119,900.00, bersamaan RM 10,258.38 mengikut kadar tukaran semasa. Tiga pilihan warna menarik yang boleh didapati ialah Phantom Blue, Midnight Black dan Tech Camo. Diharapkan tidak lama lagi, tiba pula giliran Malaysia untuk menerima kehadiran model ini.