Model naked Yamaha FZX250 Zeal keluaran tahun 1991 ini mungkin mempunyai penampilan sederhana sahaja. Namun melihat ke bahagian sistem ekzosnya, tentu ramai yang dapat meneka bahawa ianya dilengkapi konfigurasi enjin yang istimewa.
Menurut maklumat daripada laman sesawang BikesWiki, Yamaha FZX250 Zeal mula dikeluarkan untuk pasaran Jepun pada tahun 1991 dengan kod 3YX1, manakala model kedua yang dikeluarkan dari tahun 1992 sehingga 1999 mempunyai kod 3YX2.
Ianya dilengkapi enjin bersesaran 249cc empat silinder sebaris (liquid-cooled, 4-stroke, 4-cylinders in-line, chain driven DOHC, 4 valves per cylinder) yang menghasilkan kuasa maksimum 40hp @ 12,000rpm dengan tork maksimum 26Nm @ 9,500rpm.
Enjin tersebut dilengkapi sistem penyampaian bahan api jenis karburator, seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Mempunyai berat 164 kg (curb weight), Yamaha FZX250 Zeal mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 180 km/j.
Sistem suspensinya terdiri daripada fork teleskopik dengan gandingan penyerap hentak jenis berkembar. Sistem brek cakera depan (single disc, 320 mm, 2-piston caliper) dan belakang (single disc, 210 mm, 1-piston caliper) melengkapkan ciri keselamatannya.
Tangki bahan apinya mampu memuatkan 15 liter petrol, sementara ketinggian tempat duduknya berada pada paras hanya 735 mm. Penampilan Yamaha FZX250 Zeal 1991 ini juga menerima sentuhan retro apabila hadir dengan lampu depan berbentuk bulat.