Zaman kegemilangan motosikal dengan enjin dua lejang mungkin sudah lama berlalu, namun jika anda benar-benar berminat, masih terdapat syarikat yang mengeluarkan jentera dua lejang berprestasi tinggi, contohnya Vins Motors dari Italy.
Terkini muncul pula sebuah syarikat baharu dari United Kingdom yang berpengkalan di bandar Wigan, dikenali dengan nama Langen Motorcycles. Ditubuhkan sejak tahun 2019, syarikat tersebut baru saja muncul dengan model dua lejang pertama meraka yang dikenali dengan nama Langen Two Stroke.
Langen Two Stroke 2021 bakal membuat kemunculan umum pertama di acara Salon Prive 2020 yang akan berlangsung mulai Rabu depan (23 – 26 September 2020). Bagaimanapun melalui laman sesawang rasmi Langen Motorcycles, kita sudah pun boleh melihat reka bentuk dan spesifikasi model dua lejang berkenaan.
Berbeza dengan Vins Motors yang menawarkan jentera sport bike, Langen Two Stroke tampil sebagai sebuah model cafe racer yang bercirikan klasik. Enjinnya memang berasal dari Vins Motors, bersesaran 249cc (90º V-twin) dengan hamburan kuasa maksimum 75bhp @ 11,700rpm dan tork puncak 45Nm @ 11,700rpm.
Menurut pengeluarnya, enjin berprestasi tinggi itu dilengkapi sistem suntikan bahan api yang canggih dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Dengan casis aluminium dan penggunaan material gentian karbon yang ringan, berat jentera cafe racer tersebut hanya 114 kg sahaja, dan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 225 km/j.
Sistem suspensi Langen Two Stroke disempurnakan oleh fork depan Ohlins 43 mm, sementara di bahagian belakangnya ialah dua penyerap hentak pesanan khas Ktech Piggyback Razors. Brek cakera berkembar di bahagian depan 320 mm seterusnya digandingkan bersama-sama cakera belakang 265 mm.
Langen Two Stroke turut dilengkapi sistem penghidup elektrik, sistem lampu LED dan rim berjejari dengan tayar tanpa tiub Dunlop Classic TT100 GP Radial, masing-masing didatangkan dalam siri 120/70-17 (depan) dan 150/60-17 (belakang).
Setakat ini hanya 100 unit sahaja akan dikeluarkan untuk tahun 2021 (UK Spec Limited Edition), dan tempahan untuk model berkenaan telah dibuka melalui laman sesawang rasmi Langen Motorcycles, dengan bayaran deposit sebanyak £1,000.
Harga rasmi Langen Two Stroke 2021 ini ditetapkan sebanyak £28,000, bersamaan RM 148,805.83 mengikut kadar tukaran semasa. Setiap model didatangkan dengan nombor siri unik yang tersendiri dan sangat berbaloi dengan pelaburan melebihi RM 100k.