Redza Velocita pernah ditawarkan di pasaran Malaysia

Tidak pasti jika anda masih mengingati jenama pengeluar motosikal tempatan Redza Motorcycle (RMC), yang muncul dengan beberapa buah model keluaran mereka sekitar tahun 2012 yang lalu. Antaranya seperti model sport bike Velocita I, Velocita II, model naked Bellissimo, dan dua buah model skuter Reena I 300c dan Reena II 250cc.

Paling menarik sudah tentu model sport bike Velocita yang dikuasakan enjin berkapasiti 250cc. Model tersebut dilancarkan dalam bulan Julai 2012, dan menurut sumber dari laman blog Las Strada KIA, terdapat dua versi yang pernah ditawarkan di pasaran tempatan iaitu Velocita I dan Velocita II, dengan beberapa perbezaan spesifikasi.

Redza Velocita II merupakan versi naik taraf untuk model Velocita I, apabila ianya dilengkapi enjin dengan sistem sejukan cecair, transmisi enam kelajuan, brek depan berkembar, fork depan upside-down boleh laras, dan panel meter digital. Velocita I dikatakan berharga sekitar RM 12k, manakala harga Velocita II sebanyak RM 15k.

Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh Redza Velocita mencapai 16hp @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 17Nm @ 6,000rpm. Enjin empat lejangnya hanya mempunyai satu silinder sahaja. Ciri-ciri lain yang melengkapi model tersebut termasuklah tangki bahan api 14 liter, berat 150 kg, dan mampu mencapai kelajuan puncak 130 km/j.

Redza Velocita menawarkan empat pilihan warna yang menarik iaitu hitam, merah, kuning dan putih. Hasil carian maklumat selanjutnya mendapati Redza Velocita ini merupakan keluaran asal dari negara China. Reka bentuknya mempunyai persamaan dengan model Yamaha YZF-R125 generasi pertama keluaran tahun 2008.

Menurut maklumat di dalam laman sesawang rasmi Redza Motorcycle suatu ketika dahulu, produk keluaran mereka 100 peratus dipasang secara tempatan (CKD) di kilang yang terletak di Rawang, Selangor. Jenama Redza Motorcycle boleh dikatakan telah terkubur, namun mungkin masih ada model keluarannya di atas jalan raya ketika ini.

Sumber rujukan : Las Strada KIA

(Visited 3,670 times, 7 visits today)