Modenas TTR200 Cafe Racer – adakah akan dilancarkan?

Sekitar pertengahan tahun 2015 yang lalu, Modenas pernah mengejutkan arena motosikal tempatan dengan memperkenalkan model konsep Modenas TTR200 Cafe Racer. Berdasarkan maklumat terdahulu, sehingga tahun 2016, pembangunan model tersebut dikatakan masih berjalan namun kemudiannya terus menyepi sehingga kini.

Modenas TTR200 Cafe Racer pada mulanya telah dianggap sebagai antara model motosikal terbaharu keluaran Modenas yang bakal dilancarkan di pasaran tempatan, membuatkan ramai peminat Modenas yang ternanti-nantikan kemunculan model berkenaan. Malah sehingga kini masih ada yang setia menantikan ketibaannya.

Bagaimanapun setelah beberapa tahun berlalu, boleh dikatakan pembangunan model Modenas TTR200 Cafe Racer ini telah berkubur terus, apatah lagi setelah Modenas menjalinkan kerjasama dengan pengeluar motosikal Bajaj Auto dari India pada 2017, dan kemudiannya melancarkan beberapa model terbaharu yang lebih menarik.

Modenas TTR200 Cafe Racer sewaktu ianya diperkenalkan dahulu, tampil dengan beberapa reka bentuk dan adunan warna yang menarik, dengan gaya klasik dan retro yang cukup menawan. Ketika itu Modenas seringkali mempamerkan model berkenaan kepada para pengunjung dalam acara-acara atau program yang dianjurkan.

Dari segi spesifikasi teknikal, Modenas TTR200 Cafe Racer dilengkapi enjin empat lejang SOHC bersesaran 213.4cc, dengan kelengkapan sistem penyejukan udara, transmisi lima kelajuan, sistem penghidup jenis elektrik dan tangki petrol 14 liter. Jumlah kuasa yang dihasilkan sekitar 17hp @ 8,500rpm dengan tork 14.7Nm @ 7,500rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada unit fork teleskopik di bahagian depan, sementara di bahagian belakang ialah penyerak hentak ‘dual shock’. Sistem brek di bahagian roda depan merupakan jenis cakera, manakala di bahagian belakang daripada jenis dram. Ukuran tayar depan dan belakang masing-masing ialah 90/90 R18 dan 120/80 R17.

Modenas TTR200 Cafe Racer boleh dikatakan sebagai salah satu model konsep Modenas yang cuba diketengahkan di pasaran tempatan, namun gagal. Mungkin kerana faktor pasaran yang tidak meluas, kos yang tidak setimpal, dan hala tuju yang tidak selari dengan permintaan semasa di kalangan peminat motosikal masa kini.