Pada tarikh 15hb. Jun 2020 yang lalu, Ducati secara rasminya memperkenalkan Hypermotard 950 RVE, sebuah model terbaharu yang berada di tengah-tengah di antara varian aras mula Hypermotard 950 dan varian teratas Hypermotard 950 SP.
Penampilan Ducati Hypermotard 950 RVE sememangnya mudah dikenali, melalui corak grafik bernama “Graffiti” yang diilhamkan daripada seni jalanan. Motosikal tersebut dibina berasaskan model Hypermotard 950 Concept yang sebelum ini dipersembahkan di acara berprestij Concorso d’Eleganza Villa d’Este pada tahun lepas.
Menurut Ducati, fasa mengecat yang dijalankan tidak mudah kerana ianya memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, di samping penggunaan pelekat yang sangat nipis dan proses kerja yang memakan masa yang sangat panjang dan kompleks. Hasilnya dikatakan setanding dengan hasil kerja berasaskan teknik berus angin.
Selain daripada grafik, kelengkapan standard untuk Ducati Hypermotard 950 RVE juga telah dipertingkatkan. Pakej elektronik untuk model berkenaan kini dipertingkatkan melalui sistem Ducati Quick Shift (DQS) Up and Down EVO, sebagai tambahan kepada komponen-komponen sedia ada bagi versi standard seperti Bosch Cornering ABS with Slide by Brake function (in setting 1), Ducati Traction Control Evo (DTC EVO) dan Ducati Wheelie Control (DWC) EVO.
Ducati Hypermotard 950 RVE dikuasakan enjin silinder berkembar Testastretta 11° dalam sesaran 937cc. Jumlah kuasa maksimum yang dihamburkan mencapai 114hp @ 9,000rpm dengan tork puncak 96Nm @ 7,250rpm, yang mana 80% daripadanya boleh didapati pada 3,000rpm, menjadikannya sesuai untuk semua jenis situasi tunggangan.
Untuk pasaran UK, Ducati Hypermotard 950 RVE ditawarkan pada harga sebanyak £11,750, bersamaan RM 62,228.99 mengikut kadar tukaran semasa. Model tersebut akan tiba di bilik pameran pengedar Ducati mulai bulan Julai 2020 akan datang.