Galeri : Yamaha RX-King model tahun 1985

Yamaha RX-King atau juga dikenali dengan nama Yamaha RX-135, sangat popular di pasaran Indonesia dan India suatu ketika dahulu. Di pasaran Indonesia, pengeluaran model ini yang bermula sejak awal 1980an berterusan sehingga tahun 2007, sebelum dihentikan pengeluarannya kerana tidak lagi mematuhi piawaian Euro 3.

Yamaha RX-King dikuasakan enjin dua lejang bersesaran 132cc dengan gandingan transmisi manual lima kelajuan, dikatakan mempunyai paras kuasa dan tork yang tinggi, menjadikan tunggangannya bukan saja berprestasi malah menyeronokkan. Malah sehingga kini Yamaha RX-King masih mempunyai peminat setianya di Indonesia.

Bagi model tahun 1985 yang anda boleh lihat paparannya di dalam galeri di bawah, Yamaha RX-King ini menampilkan lima pilihan warna yang menarik. Rekaannya kental bergaya retro, dengan kusyen yang tebal dan bar hendal yang tinggi yang pastinya menawarkan keselesaan sewaktu tunggangan. Sistem brek depannya dilengkapi brek jenis cakera dan belakang jenis dram, digandingkan dengan rim tayar jenis berjejari.

Di sebalik kelebihannya, antara kelemahan Yamaha RX-King ialah penggunaan bahan apinya yang dikatakan kurang menjimatkan dan kurang mesra alam, tipikal bagi sesebuah model dengan enjin dua lejang. Namun begitu Yamaha RX-King tetap berada dalam kelasnya yang tersendiri, akan terus dikenang sebagai sebuah model legenda.

Sumber gambar dan maklumat : Yamaha Motor Co, Ltd. & Wikipedia