Salah sebuah model moped paling popular pernah ditawarkan di pasaran Malaysia ialah Yamaha 125ZR. Model tersebut memiliki enjin dua lejang berkapasiti 124.3cc, dengan angka kuasa sebanyak 17.4PS (12.8kW) @ 8,000rpm dan tork maksimum 16.1Nm @ 7,500rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi dengan enam kelajuan.
Antara versi terakhir 125ZR yang diperkenalkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) ialah versi berwarna Kuning, bersama-sama dua lagi warna iaitu Merah dan Biru. Kemudiannya pada tahun 2017, versi Special Limited Edition (Movistar MotoGP) telah diperkenalkan, sebagai buah tangan terakhir daripada HLYM.
Ini kerana pengeluaran Yamaha 125ZR selepas itu telah dihentikan sepenuhnya pada tahun 2018. Antara sebab kenapa pengeluaran model tersebut dihentikan ialah kerana ianya tidak lagi mampu memenuhi piawaian alam sekitar yang semakin ketat. Apa yang boleh dikatakan, motosikal dengan enjin dua lejang adalah kenangan masa lalu.
Bagaimanapun jika bernasib baik, Yamaha 125ZR Super Sport dan Yamaha 125ZR Special Limited Edition (Movistar MotoGP) masih lagi boleh didapati di pasaran tempatan sehinggalah kehabisan stok. Harganya juga tidak lagi murah malah mencecah belasan ribu, sesuai dengan taraf dan nilainya kini yang sukar dijumpai.
Untuk peminat motosikal moped dua lejang, antara pilihan terakhir yang ada untuk tahun 2020 ini ialah Modenas Dinamik. Model tersebut setakat ini masih berada di pasaran, namun dikatakan pengeluarannya telah pun dihentikan. Laman sesawang rasmi Modenas juga kini tidak lagi memaparkan model Modenas Dinamik.