Kawasaki Z H2 2020 jentera Hypernaked paling ekstrem

Untuk peminat motosikal berkuasa tinggi dalam segmen naked yang masih dahagakan kuasa dan prestasi pada tahap teratas, kemunculan model terbaharu Kawasaki Z H2 dengan enjin supercharger mungkin merupakan jawapan mutakhir yang paling tepat. Model ini diperkenalkan secara rasmi dalam bulan Oktober 2019 yang lepas.

Berada di pasaran sebagai model tahun 2020, Kawasaki Z H2 tampil dengan imej dan rekaan berkonsepkan Sugomi dan minimalis. Sekali pandang, tiada sesiapa pun akan menafikan bahawa Z H2 merupakan pencabar yang serius, sebuah jentera Hypernaked dalam siri Kawasaki Z dengan perwatakan paling agresif dan ekstrem pernah muncul.

Kawasaki Z H2 dikuasakan enjin 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four with Supercharger, DOHC, 16 valves) yang diberi nama Balanced Supercharged Engine, dengan hamburan kuasa maksimumnya mencapai angka 200PS @ 11,000rpm dengan tork puncak 137Nm @ 8,500rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan.

Untuk keseimbangan antara kuasa, prestasi, ketangkasan dan kawalan jitu yang sangat diperlukan, Z H2 dilengkap casis daripada jenis trellis yang kompak dan diperkuatkan, manakala sistem suspensi depannya ditugaskan kepada fork SHOWA SFF-BP dan sistem lengan ayun Uni-Trak belakang diperkemaskan oleh suspensi juga dari SHOWA. Sistem brek berprestasi tinggi seterusnya melengkapkan ciri keselamatannya.

Beralih ke bahagian elektronik yang melengkapi Z H2 sebagai sistem bantuan untuk penunggang antaranya termasuklah traction control, intelligent anti-lock braking, cornering management function, selectable rider and power modes dan anti-wheelie control, semuanya dikendalikan dengan cemerlang melalui sistem Bosch IMU. Sistem sambungan Bluetooth dan aplikasi Kawasaki Rideology Smartphone membolehkan penunggang melihat status dan kefungsian jentera mereka melalui skrin telefon pintar.

Kawasaki Z H2 2020 juga dilengkapi paparan panel meter TFT LCD berwarna sepenuhnya dengan pelbagai informasi berguna, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem Electronic Cruise Control, Assist & Slipper Clutch dan KQS (Kawasaki Quick Shifter). Berat Z H2 ialah 239 kg (curb mass), isian maksimum tangki bahan api 19 liter, ketinggian tempat duduknya berada pada paras 830 mm dan roda depan dan belakang masing-masing dipasangkan tayar 120/70ZR17M/C (58W) dan 190/55ZR17M/C (75W).

Pilihan warna yang ditawarkan untuk jentera Hypernaked dengan prestasi yang buas ini adalah seperti Metallic Diablo Black / Metallic Graphite Gray / Mirror Coated Spark Black, Metallic Matte Carbon Gray / Metallic Flat Spark Black dan Metallic Diablo Black / Metallic Flat Spark Black, yang dirasakan sangat bersesuaian dengan perwatakannya.