
Ada berita baik untuk semua penunggang motosikal di Malaysia, yang sehingga kini masih memegang lesen Kelas B2. Menurut laporan daripada pihak media tempatan, kerajaan Malaysia pada ketika ini sedang mempertimbangkan permohonan untuk menaik taraf lesen Kelas B2 kepada Kelas B secara automatik.
Kertas cadangan permohonan itu telah diserahkan oleh Presiden Superbikers Association Malaysia (S.A.M), Datuk Abdul Halim Suleiman, kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid, sewaktu Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka 66, di Pekan, Pahang. Majlis tersebut yang berlangsung pada kelmarin turut dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Setakat ini Ahmad Zahid telah memberikan jaminan bahawa permohonan itu akan dibawa ke peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT), untuk diteliti terlebih dahulu. Beliau pada masa yang sama berkata, penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 diakui memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
Antara cadangan yang dikemukakan untuk menaik taraf lesen Kelas B2 kepada B secara automatik itu ialah bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat lesen B2. Namun setakat ini tidak pasti sama ada cadangan itu akan diterima, atau akan terdapat beberapa penambahan lain.
Diharapkan Menteri Pengangkutan akan meneliti dengan serius setiap cadangan dalam permohonan yang dikemukakan itu. Jika permohonan itu diluluskan, secara tidak langsung ianya akan memberikan kemudahan kepada semua rakyat Malaysia yang telah lama memiliki lesen Kelas B2, malah ada yang sehingga berpuluh tahun.
Artikel berkaitan :
Sumber : Berita Harian

