BSH lancar skuter Honda PCX160 RoadSync (2026), 2 warna pilihan, harga badan RM12,998

Selepas ghaib selama enam tahun, Boon Siew Honda (BSH) akhirnya memutuskan untuk membawa kembali tawaran skuter PCX untuk pelanggan Malaysia.

Versi yang diperkenalkan adalah Honda PCX160 dengan teknologi RoadSync. Harga badan diumumkan ialah RM12,998 seunit tidak termasuk insurans, cukai jalan dan caj pendaftaran.

Model ini akan berada di pasaran bermula esok terutamanya di negeri Utara negara dan disusuli pengedar di negeri lain dalam minggu ini.

Bukan ke PCX pernah ada di Malaysia?

Jika dimbas kembali PCX pernah dilancarkan di Malaysia dengan enjin 150cc pada tahun tahun 2012 dan memperkenalkan beberapa siri versi dipertingkat termasuk varian hibrid sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan pengeluaran pada November 2020.

Alasan untuk menamatkan riwayat PCX150 pada ketika itu adalah disebabkan suasana muram permintaan terhadap segmen skuter. Ketika itu, kapcai lebih diminati ramai pengguna Malaysia.

Kenapa tawar kembali PCX?

Timbul persoalan, kenapa baru sekarang BSH mahu menghidupkan kembali tawaran skuter PCX ini?

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano berkata, susulan pertumbahan rancak segmen skuter sejak kebelakangan ini, BSH merasakan ini adalah masa sesuai menawarkan semula skuter siri PCX.

Apa kelebihan RoadSync & PCX160?

Untuk pelancaran petang tadi, BSH mengumumkan dua warna pilihan untuk Honda PCX160 dengan RoadSync iaitu kelabu gelap dan putih.

Model ini ada beberapa ciri menarik seperti dilengkapi meter TFT dan teknologi RoadSync membolehkan akses kepada navigasi, panggilan masuk, mesej serta muzik.

Perlu dijelaskan bahawa pengguna peranti pintar iPhone tidak boleh menerima panggilan masuk atau mesej. Pengguna perisian Android, tiada masalah untuk anda.

Untuk kategori skuter kecil, hanya ada dua model dilengkapi ciri RoadSync iaitu PCX160 dan ADV160.

Kami diberitahu skuter ini dipasang menerusi fasiliti BSH di Pulau Pinang dan menggunakan komponen diimport dari dua negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia. Ya, enjin PCX160 datang dari Indonesia.

Honda PCX160 dengan RoadSync didatangkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) satu tunggal (depan), Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan ruang simpanan sebesar 30 liter bawah pelana (dipanggil U-Box).

Ada sistem kekunci pintar dengan suiz multifungsi serta soket USB Type-C.

Satu isian tangki minyak penuh berkapasiti 8.1 liter membolehkan skuter ini ditunggang hampir 350 kilometer. Purata penggunaan bahan api ialah 2.3 liter untuk setiap 100km.

Spesifikasi Honda PCX160 RoadSync

Honda PCX160 RoadSync (2026)
Enjin1 silinder, SOHC, 4-injap eSP+
Kapasiti156.9cc
Kuasa maksimum11.3kW @ 8500rpm (15.1hp)
Tork maksimum14.1Nm @ 6,500rpm
Bore x Stroke60mm x 55.5mm
Nisbah mampatan12.0 : 1
Sistem bahan apiPGM-FI
Sistem penyejukanSejukan cecair
Kotak gearCVT automatik
Suspensi depanFork teleskopik biasa
Suspensi belakangabsober berkembar dengan subtank
Tayar depan110/70 - 14
Tayar belakang130/70 - 13
Brek depanCakera tunggal, ABS tunggal
Brek belakangCakera tunggal
Panjang1,936mm
Lebar742mm
Tinggi1,123mm
Jarak dari bumi134mm
Jarak roda1,313mm
Tinggi tempat duduk764mm
Tangki minyak8.1 liter
Berat132kg
Bonus- Ada ciri Honda kunci pintar.
- Brek ABS roda depan
- Ada soket USB Type-C.
- Lampu penuh LED
- Ruang simpanan 30liter bawah tempat duduk.
- Ada ISS (Idling Stop System).
- Meter TFT 5 inci berwarna.

Galeri Gambar Honda PCX160 RoadSync