
Teyin TX450.
Ini satu lagi model skuter dengan konfigurasi enjin dua silinder sebaris membuat penampilan di Pameran Perdagangan Antarabangsa Motosikal China (CIMA Motor 2026) baru-baru ini.

Ini adalah model keempat kami laporkan selepas Cyclone RT450, SWM 255XT dan TARO ATS-400T. Bezanya semua model ini ialah kapasiti enjin dan segmen.
SWM berada dalam kategori lebih kecil iaitu 250cc. Tiga model lain dengan enjin dua silinder itu berada dalam kelas 400cc, terbahagi kepada dua segmen berbeza iaitu:
- Skuter adventure: ATS-400T (sama kategori dengan VOGE SR450X)
- Skuter maxi: RT450 dan Teyin TX450
Satu cerita yang diperkatakan media di China tentang ketiga-tiga skuter kelas 400cc ini ialah platform enjin yang digunakan adalah sama seperti VOGE SR450X, dibekalkan pihak Loncin.
Berdasarkan maklumat yang kami terima, Cyclone RT450 tersenarai untuk diperkenalkan di Malaysia, pun begitu tarikh sebenar masih belum diketahui.
Tiada pengesahan sama ada TARO ATS-400T dan Teyin TX450 akan mengikuti jejak sama dengan penggunaan label lain, namun jika melihat pada trend semasa…. memang ada potensi.
Berikut ialah apa yang kami tahu tentang Teyin TX450:
- Enjin dua silinder sebaris 398cc dengan sistem sejukan cecair, berkuasa 31kW dengan tork 42Nm.
- Sistem transmisi jenis CVT dengan pacuan tali sawat.
- Lampu utama jenis projektor LED (empat unit) dengan lampu signal ditanam pada panel fairing sisi. Ada lampu DRL bentuk gaya huruf ‘X’
- Ada kamera dashcam depan dan belakang.
- Tempat duduk ada sokongan belakang untuk penunggang.
- Fork depan jenis terbalik (USD) dipadankan sepasang absober dengan subtangki di belakang. Komponen suspensi berjenama Yu’an.
- Sistem brek cakera tunggal untuk roda depan dan belakang, dengan kaliper Nissin.
- Ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) belokan (cornering ABS) depan dan belakang.
- Ada ciri Kawalan Cengkaman (TCS).
- Ruang bawah pelana boleh memuatkan satu topi keledar open face dan full face.
- Tangki minyak 16 liter, anggaran jarak tunggangan sehingga 400km.
- Panel meter digital TFT, sistem kekunci pintar, soket USB, penghadang angin jenis kawalan elektrik dan ada Sistem TPMS.





