
Honda BigWing Butterworth akan beroperasi di Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini dan ini bukan sekadar sebuah pusat jualan dan servis motosikal berjenama Honda.
Premis yang dimiliki dan diuruskan syarikat Sin Sum Sun Motor Sdn. Bhd. (Sin Sum Sun Motor) itu bukan hanya premis Honda BigWing terbesar di zon utara negara tetapi bakal berperanan sebagai sebuah hab sehenti gaya hidup pengguna dua roda.


Kami memperoleh beberapa informasi terkini mengenai premis tersebut ketika hadir ke Majlis Simbolik Pecah Tembok Renovasi Honda BigWing Butterworth di Pulau Pinang tengah hari tadi.
Turut hadir pada acara itu ialah dua Pengarah Urusan Sin Sum Sun Motor iaitu Ooi Chin Keat dan Ooi Chin Boon; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda (BSH), Kunitomo Asano, barisan pengurusan tertinggi BSH serta sejumlah tetamu berkepentingan.
Apa Apa dengan Honda BigWing Butterworth?

Honda BigWing Butterworth dengan keluasan binaan 11,000 kaki persegi itu memiliki ruang pameran luas yang dijangka mampu menempatkan semua model Honda berkapasiti 250cc ke atas.
Premis itu juga dijangka menyediakan sehingga 10 kemudahan ruang kerja untuk keperluan servis serta baik pulih motosikal dan skuter pelanggan. Stok alat ganti juga pasti disediakan di situ demi kemudahan dan kepuasan pelanggan.
Di bahagian tingkat atas pula, akan ada satu ruangan khas berkeluasan 3,000 kaki persegi menawarkan pelbagai koleksi pakaian keselamatan tunggangan termasuk berjenama premium daripada pihak FT Garage.
Melangkah ke belakang bangunan Honda BigWing Butterworth, ada sebuah spa cucian akan disediakan untuk motosikal. Di bahagian hadapan premis, pula ada kontena kafe kopi Hurry Hari yang popular di Pulau Pinang.
Premis ini juga akan membuka sekurang-kurangnya 20 peluang pekerjaan dan dijangka bertambah apabila operasi berkembang kelak.
Cerita di sebalik Honda BigWing Butterworth
Pengumuman mengenai rancangan mendirikan Honda BigWing Butterworth pernah dikongsi BSH semasa Anugerah Motosikal Tahunan (MMOTY) 2026 dan pembukaan Honda Big Wing di Senai.
Kami sempat menemu bual Ooi Chin Keat untuk mendapatkan perincian lanjut mengenai Honda BigWing Butterworth.
Beliau menjelaskan perniagaan motosikal Sin Sum Sun Motor bermula seawal tahun 1970 dengan tawaran pelbagai jenama roda dua di Pulau Pinang. Selepas lebih 57 tahun beroperasi, mereka memutuskan untuk menganjak bisnes ke tahap lebih tinggi.
Chin Keat menyatakan:
“Saya merasakan kita perlu satu jenama premium dan berkualiti tinggi yang boleh dijual setiap hari. Tiga tahun lalu, kami memohon untuk menjadi pengedar daripada pihak Honda (BSH).
“Dan Honda memberi respons yang cukup bagus dengan mengizinkan kami membuka premis IMPIAN X (Honda Impian X – Sin Sum Sun) di Bayan Baru.
“Selepas tiga tahun, kami diberi kepercayaan untuk buka Honda BigWing Butterworth.”
Mengapa mohon buka Honda BigWing? Ini jawapan beliau:
“Saya suka dan mahu berniaga ada rangkaian penuh produk. Saya ada berniaga Honda kapcai (kapasiti kecil) dan kini mahu produk berkapasiti besar.
“Jika pelanggan saya mahu (naik taraf) produk jenama Honda, saya tidak mahu katakan kita tidak jual model ini (kapasiti besar atau apa produk Honda mereka mahukan). Saya mahu sediakan rangkaian penuh produk Honda kepada pelanggan.”
Berhubung pemilihan Butterworth sebagai lokasi premis Honda BigWing mereka, Chin Keat menyatakan lokasi itu dipilih selepas penilaian terhadap beberapa aspek penting.
Beliau berkata:
“Saya merasakan Butterworth ialah kawasan utama di tanah besar (di Pulau Pinang). Sekarang kita boleh nampak di Juru misalnya, sudah ada bandar auto (auto city) yang sarat dengan bisnes automotif.
“Di sini, saya merasakan akan jadi suatu kawasan automotif (baharu). Saya mahu lokasi sebegini.”
Tambah beliau, kedudukan premis Honda BigWing Butterworth berhampiran akses lebuh raya juga memberi manfaat kepada pemilik dan pengguna motosikal atau skuter Honda yang menuju ke kawasan utara negara.
Selain memenuhi keperluan pelanggan tempatan dan setempat, lokasi strategik itu juga dijangka menawarkan kemudahan kepada pengguna motosikal Honda dari Thailand semasa merentas sempadan ke negeri utara Malaysia.
Semasa ditanya sama ada pihaknya akan menawarkan servis kepada pemilik motosikal Honda yang dibeli melalui grey market (pengimport AP), beliau menyatakan pihaknya tetap akan menawarkan servis tetapi bukannya jaminan (warranty) kepada produk itu bukan bawah BSH.
Pelaburan kasar dibuat untuk Honda BigWing tidak termasuk pembelian bangunan adalah sekitar RM6 hingga RM7 juta.
Bertanya tentang juruteknik dan mekanik dalam bahagian khidmat baik pulih di Honda BigWing Butterworth, Chin Keat berkata:
“Secara asasnya mereka semua sudah berpengalaman dan sudah tentu kami juga akan menghantar mereka untuk mendapatkan latihan serta menjalani kursus bersama pihak BSH untuk meningkatkan skil petugas-petugas kami.”
Beliau juga menyatakan pihaknya akan menganjurkan beberapa aktiviti untuk pelanggan Honda BigWing Butterworth (selepas rasmi beroperasi) seperti aktiviti tunggangan konvoi, himpunan hujung minggu dan lebih banyak aktiviti berfokuskan gaya hidup.
Ada rancangan buka premis baharu? Ini jawapan diberi:
“Setakat ini, kami belum ada apa-apa perancangan untuk membuka cawangan lain dalam masa terdekat. Kami mahu memberi fokus sepenuhnya kepada aspek perkhidmatan kepada pelanggan dan selepas jualan.”
Ikuti Honda BigWing Butterworth:
- Facebook: Honda BigWing Butterworth
- Instagram: hondabigwing_butterworth
- TikTok: Honda BigWing Butterworth
- Facebook Sin Sum Sun Motor: HQ Sin Sum Sun




























