
Jumaat lalu, kami sempat singgah sebentar di premis terbaharu Gomoto Xperience Lab Penang yang memulakan operasi mereka semenjak dua bulan lalu iaitu mulai 21 April 2026.
Ini adalah premis Gomoto Xperience Lab kedua di Malaysia selepas cawangan pertama mereka SS2 di Petaling Jaya, Selangor.

Apa itu Gomoto Xperience Lab?
Gomoto Xperience Lab bukan kedai aksesori motosikal biasa. Ini boleh dikelaskan sebagai pusat sehenti dengan koleksi barangan premium berkualiti tinggi, hab servis dan alat ganti, sokongan teknikal serta bantuan daripada staf profesional terlatih.
Alamat penuh Gomoto Xperience Lab Penang ialah No 2526, Tingkat Perusahaan 6, Kawasan Perusahaan Bebas Perai di Perai, Pulau Pinang.
Premis itu beroperasi di tingkat aras bumi (ground floor) bangunan ini:

- Peta Google Map: Gomoto Xperience Lab Prai
- Peta WAZE: Gomoto Xperience Lab Prai
Apa ada dalam Gomoto Xperience Lab Penang?
Dalam premis Gomoto Xperience Lab ini, ada beberapa jenama barangan ditempatkan dalam dua ruang pameran berbeza.
Ruang pameran pertama boleh dilihat di sebalik pintu kaca utama. Antara jenama produk disediakan dalam ruang pameran pertama ialah Michelin (tayar), Dynavolt (bateri), YSS (suspensi), RK Takasago Chain (sproket dan rantai), barisan helmet Shoei, sistem komunikasi Cardo, Takasago EXCEL (rim) dan Bartubeless.

Ruang pameran kedua boleh di akses menerusi satu pintu di antara bahagian Cardo dan Bartubeless. Di situ ada ruang pameran khas buat koleksi pakaian keselamatan Alpinestar dan topi keledar Nolan.

Seperti dikatakan, Gomoto Xperience Lab bukan kedai aksesori motosikal biasa. Sebabnya, kakitangan profesional di Gomoto akan bantu anda memilih produk serasi dengan keperluan sebenar.
Sebagai contoh, jika anda mencari topi keledar Shoei, mereka ada program Personal Fitting Service (PFS). Kakitangan akan bantu ukur kepala, membuat padanan sesuai ikut ukuran dan bentuk kepala untuk keselesaan pemakaian topi keledar.
Kakitangan juga membantu memberi penerangan mengenai topi keledar dan mengesyorkan apa yang sesuai mengikut keperluan anda. Ini jika anda masih belum membuat keputusan akhir.
Selain itu, mereka juga boleh bantu memasang sistem interkom Cardo dan berkongsi ilmu dan memberi nasihat dan penerangan penggunaan turut diberikan sehingga pengguna faham.
Untuk suspensi YSS, pengguna juga boleh mendapatkan khidmat pemeriksaan Suspension Health Check di Gomoto tetapi anda perlu hubungi mereka terlebih dahulu untuk janji temu.
Penerangan dan nasihat juga diberikan untuk produk-produk lain di premis Gomoto. Sama juga untuk pakaian dan aksesori keselamatan Alpinestars. Koleksi disediakan merangkumi penggunaan harian sehingga ke litar untuk lelaki dan wanita.
Di sini juga pengguna boleh melihat (atau mungkin merasa) sendiri sistem Alpinestars Tech-Air dan bagaimana ia berfungsi. Tanya sahaja staf profesional di Gomoto, mereka sedia membantu anda.







































