Modenas teruskan kerjasama strategik dengan Hyrax Oil

Hyrax Oil dan Modenas Kerjasama 2026 - 12

Modenas baru-baru ini menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan syarikat Hyrax Oil untuk aspek pembekalan bahan pelincir dan sokongan teknikal bagi tempoh dua tahun.

Bekalan bahan pelincir yang diterima adalah untuk kegunaan isian awal di kilang dan penggunaan semasa khidmat selepas jualan serta rangkaian penyelenggaraan Modenas.

Pun begitu, ini sebenarnya masih tertakluk kepada penilaian teknikal dan kelulusan daripada pihak Modenas.

Hyrax Oil sebenarnya sudah membekalkan produk kepada Modenas sebelum ini, dalam kuantiti kecil untuk kegunaan isian awal di kilang Modenas.

Satu poin penting yang perlu diketengahkan berhubung perjanjian baharu yang dimeterai ialah bukan semua produk Modenas akan menggunakan bahan pelincir Hyrax Oil.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan menjelaskan pemilihan model akan dibuat berdasarkan kesesuaian minyak pelincir Hyrax.

“Bukan semua model sesuai. Ada juga model yang telah ditetapkan dan jenis minyak yang perlu digunakan. Berdasarkan kolaborasi sebelum ini, model yang (menggunakannya) high volume (volum pengeluaran tinggi) untuk moped tertentu.”

Mengulas lebih lanjut mengenai pemilihan Hyrax, Roslan menyatakan kerjasama bersama Hyrax dilanjutkan susulan keupayaan syarikat itu memenuhi spesifikasi teknikal, memastikan penghantaran tepat pada masa dan menawarkan harga yang kompetitif.

Malah Hyrax Oil juga akan terlibat lebih aktif dengan Modenas dan EMOS untuk aktiviti-aktiviti pemasaran dan khidmat selepas jualan. Ini adalah satu aspek terbaharu dalam perjanjian kali ini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyrax Oil, Datuk Hazimah Zainuddin menyiftakan kerjasama terbaharu ini adalah kolaborasi teknikal dan komersial yang lebih tersusun membabitkan kedua-dua syarikat.

“Hyrax telah membekalkan minyak pelincir untuk kegunaan ‘initial fill’ motosikal MODENAS bagi pasaran tempatan.

“Walaupun jumlah pembekalan pada peringkat awal kecil, namun jumlah pembelian meningkat dengan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini selari dengan pertumbuhan Modenas.”

Majlis menandatangan persefahaman dalam aspek kerjasama dua syarikat itu disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri.