ZEEHO Magnet Concept: Mobiliti masa hadapan dengan teknologi termaju sub jenama CFMOTO

ZEEHO pernah menayangkan model skuter elektrik Magnet Concept sempena acara Pameran Motor Milan (EICMA) 2022 di Itali.

Kami bersama media lain berpeluang melihat model skuter ini semasa melawat ibu pejabat CFMOTO di Hangzhou, China baru-baru ini.

Di hujung artikel ini, kami kongsikan koleksi gambar yang sempat dirakam untuk tontonan anda.

Magnet Concept ialah satu visi baharu ZEEHO yang menggabungkan prestasi unggul, teknologi tinggi dan rekaan unik.

ZEEHO pernah menyatakan Magnet Concept  ini bukan sekadar skuter tetapi mobiliti dengan reka bentuk badan seakan kapal angkasa, penggunaan lampu baharu, fungsi sayap dan papan pemuka pintar yang menjadinya unik.

Elektrifikasi ialah tunjang utama Magnet Concept. Model ini menggunakan bateri litium ion yang boleh ditanggalkan.

Ada beberapa spesifikasi skuter ini dikongsi iaitu:

  • Kelajuan maksimum lebih 150kmj
  • Pecutan dari 0-50km/j adalah bawah 2.5 saat
  • Jarak tunggangan setiap cas penuh ialah 200km mengikut kitaran NEDC

Skuter ini dilengkapi sistem kamera definisi tinggi di hadapan dan belakang untuk membantu peranti sokongan tunggangan.

Teknologi tinggi digunakan pada Magnet Concept membolehkan kawalan menerusi suara dan sentuhan serta boleh disambung kepada aplikasi ZEEHO APP.

Perolehan semula tenaga kinetik boleh diselaras sekali gus membolehkan kawalan pendikit tunggal (single-throttle control).

Tambahan lain ialah ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).