
MForce Bike Holdings (MForce) mengambil satu lagi inisiatif menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan dengan dengan pelancaran Mforce Service Diary (Diari Servis Mforce).
Tujuan perkhidmatan terbaru ini diperkenalkan adalah untuk memperkukuh lagi pengalaman pemilikan motosikal dan meningkatkan tahap kepercayaan pelanggan terhadap jenama-jenama di bawah MForce.
APA ITU MFORCE SERVICE DIARY?
Mforce Service Diary ini ialah satu platform digital untuk pemilik-pemilik motosikal dan skuter MForce menyimpan dan menjejak rekod servis kenderaan mereka secara sistematik dan berpusat.
Semua ini boleh dilakukan menggunakan peranti mudah alih seperti telefon pintar, tab atau komputer riba. Alamat ke Mforce Service Diary ialah https://mforceservice.my/
APA ADA DALAM MFORCE SERVICE DIARY?
Mforce Service Diary ialah halaman maya atau diari servis digital.
Dalam diari ini, pelanggan boleh masukkan sendiri rekod dan maklumat servis motosikal atau skuter mereka. Ini termasuk sejarah penyelenggaraan secara dalam talian (online).
Antara ciri utama Mforce Service Diary ialah:
- Rekod servis berbentuk diari digital.
- Pelanggan boleh memasukkan dan mengemas kini rekod servis sendiri.
- Paparan sejarah servis motosikal yang tersusun dan mudah dirujuk.
- Sistem dalam talian yang boleh diakses bila-bila masa.
SEBAB APA PERKENALKAN MFORCE SERVICE DIARY?
MForce menyatakan usaha memperkenalkan platform ini adalah sebahagian daripada fokus mereka ke arah perkhidmatan selepas jualan.
MForce menyatakan:
“Ini adalah selari dengan usaha memperkenalkan pelbagai model motosikal (dan skuter) ke pasaran Malaysia tanpa mengabaikan aspek sokongan jangka panjang kepada pelanggan.
“Dengan pengenalan Mforce Service Diary, MForce berharap dapat membantu pemilik motosikal (dan skuter) mengurus rekod penyelenggaraan dengan lebih cekap, sekali gus menyokong nilai penggunaan motosikal (dan skuter) yang lebih terancang dan berinformasi.”

