MForce luaskan bisnes ke Vietnam, lancar 3 model baharu, rancang buka kilang baharu

MForce Bike Holdings (MForce) sudah meluaskan bisnes motosikal dengan perasmian MForce Vietnam di Bandar Raya Ho Chi Minh di Vietnam baru-baru ini.

Langkah MForce untuk meneroka potensi pasaran ASEAN dan China pernah kami laporkan sebelum ini, susulan pengumuman Ketua Pegawai Operasinya, Asri Ahmad beberapa bulan lalu.

Vietnam ialah negara ASEAN kedua diteroka MForce selepas Indonesia. Ya, MForce sebenarnya sudah ada di dua negara jiran dan Thailand adalah destinasi seterusnya.

HALA TUJU BISNES MFORCE VIETNAM

Semasa menghadiri perasmian di Bandar Raya Ho Chi Minh, wakil media Malaysia mendapat gambaran lebih jelas mengenai hala tuju bisnes MForce di negara itu.

Asri Ahmad menjelaskan MForce Vietnam akan menumpu perniagaan kepada dua segmen motosikal berbeza iaitu moped bawah 50cc dan motosikal kategori besar iaitu atas 250cc.

Untuk motosikal 50cc, produk yang terlibat membabtikan dua skuter jenama WMOTO iaitu motosikal RTR 50 dan Gemma 50.

WMOTO RTR 50 dan Gemma 50 dipasang di kilang MForce di Pulau Pinang dan kemudiannya dieksport ke Vietnam.

Untuk dua produk WMOTO bawah 50cc ini, pengguna di Vietnam sebenarnya tidak perlu memiliki lesen memandu sah untuk menunggangnya.

MForce Vietnam juga akan menumpukan hala tuju bisnes dengan fokus kepada motosikal berkapasiti tinggi iaitu daripada kelas 250cc ke atas.

Ini akan melibatkan beberapa jenama popular seperti VOGE, QJMOTOR, CFMOTO, BENDA, BENELLI, CYCLONE dan WMOTO.

Mengapa pilih segmen motosikal 250cc ke atas? Sebabnya itu adalah segmen yang kurang diberi fokus oleh kebanyakan pengeluar lain.

Sempena majlis perasmian MForce Vietnam, Asri membuat serahan tugas secara rasminya kepada Jacky Chen iaitu Pengarah Besar MForce Vietnam.

Upacara serahan tugas itu turut disaksikan Pengarah Urusan MForce, Datuk Seri Tan Lean Heah; Penasihat Kanan MForce, Jeff Lee dan Pengurus Cawangan MForce Vietnam, Arthur Teng.

Selain itu, MForce Vietnam juga mengumumkan perancangan mereka untuk tahun 2026. Boleh dikatakan pendekatan yang akan dilakukan MForce Vietnam adalah sama seperti apa yang dilakukan MForce di Malaysia.

Pengarah Besar MForce Vietnam, Jacky Chen menyatakan mereka bercadang membuka 10 cawangan MForce Vietnam di seluruh negara itu untuk tahun 2026 serta memperkenalkan barisan produk multi-jenama untuk pelanggan tempatan.

Selain tawaran produk, setiap premis yang dibuka itu akan dilengkapi stok, alat ganti serta menawarkan servis selepas jualan kepada pelanggan.

Setiap premis itu akan menempatkan motosikal dan skuter pelbagai jenama dan barisan produk ini akan dihantar terus dari China (produk 250cc ke atas).

Malah setiap motosikal dan skuter yang akan ditawarkan di Vietnam akan diberi tempoh waranti selama tiga tahun tanpa had perbatuan. Ada beberapa program akan disusun untuk komuniti setempat termasuk tunggang uji, konvoi berkumpulan serta latihan keselamatan tunggangan.

MForce juga akan membuka sebuah kilang pemasangan sebagai rancangan masa hadapan pengembangan perniagaannya di Vietnam.

LANCAR 3 MODEL, BRIXTON KEMBALI KE VIETNAM

Seiring dengan majlis perasmian MForce Vietnam. tiga model motosikal berkuasa tinggi dilancarkan iaitu VOGE DS900X, QJMOTOR SRV 400 dan QJMOTOR SRV 600.

Turut diumumkan ialah jenama BRIXTON akan kembali ke pasaran Vietnam tidak lama lagi. Semasa acara pembukaan premis itu, ada dua model Brixton dipamerkan iaitu Crossfire 500 Storr dan Cromwell 1200.

VIDEO PELANCARAN MFORCE VIETNAM

KOLEKSI GAMBAR PERASMIAN