
Aveta Malaysia mengumumkan tawaran pilihan warna baharu untuk varian skuter Vanguard 250 SE iaitu Twilight Blue (biru chameleon).
Ini adalah pilihan warna ketiga Vanguard 250 SE selepas warna Majestic Green (hijau) dan Titanium Grey (kelabu lembut).

Berdasarkan maklumat diterima, harga untuk warna baru itu kekal seperti harga badan sama seperti pilihan warna yang sedia.
BERAPA HARGA?

Aveta Vanguard 250 SE Twilight Blue
Jika diimbas kembali, Aveta Vanguard 250 SE mula ditawarkan pada pertengahan Januari 2025 dengan harga badan RM16,388 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Pelancaran warna baru itu dibuat pada ketika Aveta menerima pengiktirafan dari TARO kerana berjaya mencatat prestasi jualan luar biasa untuk model Vanguard 250. Cerita pengiktirafan ini akan kami kongsikan di sini
TIADA LAGI VARIAN VANGUARD STANDARD?
Aveta menjelaskan langkah memperkenalkan warna Twilight Blue ini untuk Vanguard 250 SE dibuat kerana ini adalah satu-satunya varian di bawah keluarga Vanguard.
Sebabnya, Aveta sudah memberhentikan pengeluaran versi Aveta Vanguard 250 Standard.
Artikel: 8 ciri tambahan untuk Aveta Vanguard 250 SE berbanding Vanguard Standard (2025)
APA ISTIMEWA WARNA TWILIGHT BLUE?
Warna Twilight Blue datang daripada ilham perubahan warna langit pada waktu senja. Warna ini dikatakan melambangkan kecanggihan, keperibadian dan keanggunan moden.
Penampilan warna metalik dah macam cicak sesumpah (chameleon). Pendek kata, warna nampak antara tona ungu, biru serta hijau di bawah cahaya matahari.
APA KATA ORANG KUAT AVETA?
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Steven Lim berkata:
“Twilight Blue bukan sahaja mencerminkan warna baharu, tetapi melambangkan semangat Aveta untuk mempelopori kemajuan dan komitmen kami untuk memahami kehendak hati penunggang motosikal masa kini.
“Warna metalik ini dihasilkan berasaskan maklum balas terus daripada pengguna yang mahukan penampilan lebih berkilat dan penuh bertenaga, sebagai satu kelainan kepada pilihan warna kusam (matte) kami yang sedia ada dan mencerminkan tumpuan berterusan kami untuk menawarkan apa yang benar-benar dihargai oleh para penunggang motosikal di Malaysia.”





