PETRONAS Sprinta teruskan tradisi konvoi sempena MotoGP Malaysia, 300 peserta sertai konvoi 2025

MERIAH. Itu gambaran tradisi konvoi anjuran PETRONAS Sprinta ke MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) pada pagi Ahad lalu.

Acara anjuran PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) kali ini menarik penyertaan kira-kira 300 peserta termasuk wakil media, peserta konvoi pelbagai jenis dan kategori motosikal dan kumpulan sokongan marshal Harley-Davison.

Perjalanan konvoi dipermudahkan dengan adanya bantuan polis trafik yang mengiringi mereka ke Litar SIC, juga atas faktor keselamatan dan kelancaran perjalanan trafik semua pihak termasuk pengguna jalan raya lain.

Acara konvoi bukan sekadar tunggang motosikal atau skuter beramai-ramai tetapi program turut bertujuan untuk mempromosikan minyak pelincir PETRONAS Sprinta.

Bukan sekadar mempromosikan minyak enjin tetapi konvoi ini juga memperkukuhkan dan mengeratkan hubungan antara PLMM bersama komuniti motosikal tempatan.

Malah Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Zameer Zahur Hussain turut menunggang bersama kumpulan konvoi kali ini ke Litar SIC.

Dania Garage yang merupakan bengkel rasmi PETRONAS Sprinta dan PETRONAS MotoExpert menjadi rakan strategik konvoi untuk tahun kedua berturut-turut.

Dania Garage dalam satu kenyataan berkata:

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama sekali lagi dengan PLMM bagi Konvoi Motosikal ke MotoGP Sepang 2025 ini serta menjadi rakan jualan di khemah PETRONAS Oasis yang sangat menarik perhatian di Mall Area”

Zameer berkata:

“Usaha kami selama lebih setahun mendekati para ‘bikers’ dalam pelbagai acara permotoran dilihat membuahkan hasil dengan jenama dan jualan PETRONAS Sprinta meningkat dari hari ke hari.

“Kami akan terus berusaha dengan pendekatan ini dan mengalu-alukan sebarang ‘feedback’ dari pengguna dan rakan jualan.”

Konvoi tiba di Litar SIC kira-kira jam 10 pagi dan membuat lawatan ke PETRONAS Oasis serta ke Main Grandstand untuk menyaksikan acara perlumbaan Moto3, MotoGP dan Moto2 secara langsung.

Konvoi PETRONAS Sprinta ini juga merupakan satu-satunya konvoi rasmi yang diberi kebenaran untuk tunggangan berkumpulan ke tapak acara. Bukan sebarang konvoi!